Negeri

“Tuanku Syed Sirajuddin Titah Hapus Birokrasi dan ‘Little Napoleon’ di MPKangar”


ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, menzahirkan rasa dukacita terhadap kewujudan budaya birokrasi melampau dan sikap “Little Napoleon” dalam kalangan pegawai Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar), yang disifatkan sebagai penghalang utama kemajuan pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam titah sempena Majlis Perasmian Pecah Tanah Wisma MPKangar di Persiaran Wawasan, baginda menegaskan bahawa kerenah segelintir pegawai telah memberi kesan buruk terhadap reputasi MPKangar, termasuk dalam urusan mudah seperti pertukaran syarat yang memakan masa bertahun.

“Perkara senang seperti tukar syarat pun makan masa sampai bertahun. Kalau masih wujud budaya ini, tiada makna untuk jenama baharu MP Perlis,” titah baginda.

Baginda turut mendedahkan bahawa cadangan awal untuk menjenamakan semula MPKangar kepada Majlis Perbandaran Perlis (MP Perlis) terjejas akibat sikap negatif dalam kalangan kakitangan yang masih terperangkap dalam corak pemikiran lama.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Fokus Utama: Layanan Mesra Rakyat

Titah baginda turut menekankan bahawa kemudahan fizikal seperti bangunan baharu tidak membawa makna sekiranya sikap pegawai tidak berubah.

“Tiap-tiap hari rakyat datang berjumpa pegawai. Tapi kalau tak dilayan sewajarnya, tiada makna duduk bangunan baru dengan pendingin hawa. Yang penting ialah mesra rakyat, mesra alam, dan mesra kerja,” titah baginda lagi.

Seruan Kepada Pembaharuan Minda

Tuanku Syed Sirajuddin menyeru semua pegawai dan kakitangan MPKangar agar segera mengubah mentaliti dan pendekatan kerja demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Sudah tiba masanya tukar ‘mindset’ lama kepada yang baharu. Kalau tidak, walau MPKangar dijenamakan semula, hasilnya tetap sama,” titah baginda penuh tegas.

Titah Raja Perlis ini hadir sebagai peringatan penting kepada seluruh penjawat awam agar sentiasa menjunjung nilai amanah, kecekapan dan keprihatinan dalam memberi khidmat kepada rakyat — selari dengan semangat Malaysia MADANI.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button