Nasional

Tuanku Syed Faizuddin Putra sampaikan sumbangan raya

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengurniakan sumbangan kuih raya kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas barisan hadapan di sempadan Perlis dan Thailand yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri 1442H / 2021 tahun ini.

Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis dipilih menjadi hos kepada program tahun ini dalam satu majlis yang melibatkan 18 buah agensi negeri dan Persekutuan yang diadakan di Balai Bomba Kuala Perlis semalam.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis, Ruhisha Haris dalam ucapan alu-aluan beliau memaklumkan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah prioriti utama JBPM. Kehendak dan ekspetasi masyarakat kepada perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan bomba juga semakin meningkat.

Menurut beliau, perkembangan pesat dan pembangunan negara dalam sektor industri dan hartanah meningkatkan lagi risiko berlakunya kebakaran. Manakala perubahan cara hidup masyarakat bandar dengan aktiviti lasak dan ‘adventurous’ menyebabkan aktiviti menyelamat juga terus meningkat.

“Oleh itu, Jabatan Bomba tidak boleh statik atau ‘complacence’ sebaliknya perlu mengambil pelbagai langkah mentransformasi jabatan supaya terus relevan dan terus berupaya memenuhi kehendak dan ekspetasi rakyat”, tegas beliau.


Ruhisha berkata, Jabatan Bomba akan meningkatkan lagi kesedaran di kalangan rakyat terhadap keselamatan kebakaran terutamanya apabila tibanya musim perayaan. Jabatan ini akan membuat pemeriksaan bagi menghapus bahaya kebakaran sempena musim perayaan selama 2 minggu iaitu seminggu sebelum dan seminggu selepas perayaan.

“Kami akan memberi fokus kepada dua golongan sasar iaitu pemilik-pemilik bangunan yang menjadi tumpuan awam seperti kompleks membeli-belah dan hotel bagi memastikan kelengkapan pencegahan kebakaran diberi penjagaan dan penyelenggaraan serta berfungsi supaya keselamatan penghuni tidak terjejas disebabkan kecuaian atau “lapse of good practices” oleh pemilik bangunan yang hanya mementingkan keuntungan tetapi tidak memberi perhatian kepada aspek keselamatan”, jelas beliau.

Pada majlis yang sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan pelancaran ‘Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Ronda Raya Tahun 2021 Sempena Sambutan Aidifitri’ yang bakal tiba nanti.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan ‘Selamat Menyambut Lebaran’ serta ‘Selamat Memperingati Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2021’ yang disambut pada 4 Mei baru-baru ini kepada seluruh warga bomba di negeri Perlis.

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button