Acara

Tuanku Raja Muda Perlis Rasmi Program Anak Sihat, Keluarga Sejahtera di Kangar

KANGAR, 6 Julai 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Bersama Masyarakat bertemakan “Anak Sihat, Keluarga Sihat, Komuniti Sejahtera” yang berlangsung di Masjid Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), Kangar hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran pelatih Kejururawatan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ghazali Chik.

Acara dimulakan seawal pagi dengan sesi senamrobik yang dikendalikan Unit Promosi Kesihatan JKN Perlis, diikuti program Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda. Menerusi kayuhan ini, baginda menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada tiga keluarga asnaf terpilih: Othman Mohamad, 81 (Kg Repoh); Maimunah Othman, 75 (Kg Padang Behor); dan Mohd Rondzan Abdul Latiff, 55 (Kg Tok Kandang).

Program turut menampilkan reruai pameran kesihatan, gerai jualan komuniti serta penyempurnaan simbolik perasmian program oleh baginda. Dalam majlis sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan merasmikan logo baharu Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail serta menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM105,000 kepada 150 asnaf dari kariah MTSPJ, Alwi dan Repoh.

Kesemua penerima turut mendapat manfaat saringan kesihatan percuma, ceramah motivasi Bangun Jiwa Asnaf oleh MAIPs dan ceramah Gaya Hidup Sihat oleh JKN Perlis.

Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda menekankan kepentingan kerjasama masyarakat dalam merealisasikan Agenda Nasional Malaysia Sihat menerusi slogan “Sihat Milik Semua”. Baginda menyeru agar usaha ke arah membudayakan kesihatan dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif merentas semua peringkat usia serta komuniti demi kesejahteraan negeri Perlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button