Acara

“Tuai Kasih” Tonjol Keunikan Sambutan Gawai dan Kaamatan, Lambang Perpaduan Dalam Kepelbagaian

DALAM suasana penuh warna-warni dan semangat kekeluargaan yang melatari sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan 2025, satu karya kreatif yang unik dan berbza dari kelazminan telah mencuri perhatian rakyat Malaysia – sebuah iklan istimewa bertajuk “Tuai Kasih” yang dicetuskan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Setiausaha Akhabar kepada Aaron, Dr Shatesh Kumar a/l Sanggar berkata, “Iklan ini bukan sekadar bahan promosi sempena dua perayaan di Malaysia, ia merupakan simbol keindahan nilai kebersamaan dan penerimaan budaya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum”.

Dengan membawa tema “Dalam setiap sambutan, kita raikan keharmonian dalam kepelbagaian”, Tuai Kasih tampil sebagai karya seni visual yang memukau, menggabungkan unsur tradisional seperti tarian etnik dan muzik rakyat yang disusun dengan melodi lunak dan penuh emosi. Penyampaian ini tidak hanya menyentuh lapisan masyarakat dari Sabah dan Sarawak, tetapi juga merentasi sempadan kaum dan agama, menjadikan ia relevan dan menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Mengangkat Nilai Perpaduan dan Kefahaman

Lebih daripada sekadar hiburan atau dokumentasi budaya, “Tuai Kasih membawa mesej yang sangat penting dalam konteks Malaysia hari ini — bahawa perpaduan hanya dapat dibina melalui saling faham, saling hormat dan penerimaan terhadap perbezaan budaya. Dalam sebuah negara yang rencam dari segi etnik, bahasa, dan adat, iklan ini menyampaikan mesej bahawa perayaan seperti Gawai dan Kaamatan wajar diraikan bukan sahaja oleh masyarakat asalnya, tetapi juga oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai lambang identiti nasional”.

Naratif iklan ini disusun dengan penuh teliti, menonjolkan peranan nilai kasih sayang, hormat dan saling menyokong antara komuniti — elemen penting dalam membentuk Malaysia yang lebih bersatu dan harmoni. “Tuai Kasih, yang secara literal bermaksud ‘menuai kasih sayang’, menjadi metafora kepada hasil yang dituai apabila rakyat hidup bersama dalam suasana yang saling menyayangi dan memahami”.

Siaran media Visual Memukau, Naratif Emosi

Apa yang menjadikan iklan ini begitu berbeza dan luar biasa ialah gabungan teknik sinematografi moden dengan elemen tradisional. Tarian-tarian etnik yang diiringi alunan muzik lembut mencipta suasana syahdu yang menjentik rasa bangga dan kasih terhadap warisan budaya tanah air.

Setiap momen diolah dengan tujuan memperlihatkan keindahan budaya dan kekuatan semangat kekitaan, dari detik persiapan sambutan, hingga ke saat komuniti pelbagai bangsa berkumpul dalam suasana penuh ceria dan harmoni.

Paparan visual desa dan alam semula jadi Sabah dan Sarawak yang menawan bakal memberi kesan mendalam terhadap penonton.

Sambutan Hangat dan Pujian Ramai

Sejak dilancarkan, Tuai Kasih menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat dengan tontonan melebihi 2,500,000 tontonan di dua media media sosial Aaron iaitu TikTok dan Instagram sejak dimuat naik pada 26 May 2025.

Masyarkat memuji pendekatan yang kali ini yang disifatkan sebagai kreatif, menyentuh emosi dan mengangkat perpaduan secara halus tetapi bermakna.

Iklan ini telah menjadi tular di pelbagai platform digital dan menjadi bahan perbincangan yang positif dalam kalangan netizen.

Untuk mereka yang masih belum boleh menonton, iklan ini boleh ditonton di media sosial YB Dato Sri Aaron Ago Dagang, di Kementerian Perpaduan Negara, serta saluran rasmi seperti TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Sarawak (TVS), Astro Awani Borneo, dan BERNAMA. Tayangan rasmi berlangsung bermula 26 Mei hingga 2 Jun 2025, menjadikan ia tontonan wajib sempena musim perayaan ini.

Harmoni Dalam Kepelbagaian

Iklan ini turut menampilkan barisan pelakon yang mewakili kepelbagaian masyarakat Malaysia dengan sangat baik. Antara pelakon utama adalah Izzul Faiq sebagai Ismail yang mewakili masyarakat berbangsa Melayu, Nicole Jay sebagai Lizzy yang mewakili masyarakat berbangsa Cina, Dhakshu sebagai Deva yang mewakili masyarakat India, serta Ethan yang mewakili masyarakat Sabah dan Dunstun Luther Junior yang mewakili masyarakat Sarawak. Kehadiran mereka mengukuhkan lagi mesej perpaduan dan keharmonian yang cuba disampaikan dalam iklan ini.

Siaran media Sejajar Dengan Hasrat Kepimpinan Negara

Iklan Tuai Kasih ini juga digarap dengan semangat dan hasrta yang sering disebut-sebut oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, yang sentiasa menjunjung tinggi semangat perpaduan di negara ini. Beliau mengingatkan agar kita wajib memastikan masyarakat di Malaysia hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling menjaga keharmonian antara satu sama lain.

“Karya ini turut menitikberatkan beberapa elemen yang sering disebut oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melihat Malaysia maju bukan sahaja dikenali dengan kemakmuran, tetapi juga dengan semangat perpaduan yang utuh dan harmoni dalam kepelbagaian telah menjadi asas untuk digarap oleh Menteri Perpaduan Negara dalam penghasilan karya Tuai Kasih”.

Malaysia yang Lebih Indai, Harmoni dan Bersatu

Melalui Tuai Kasih, karya ini berjaya menyampaikan aspirasi sebuah Malaysia yang lebih indai (cantik dalam bahasa Iban), lebih harmoni dan lebih bersatu. Iklan ini menjadi bukti bahawa seni dan budaya boleh menjadi medium efektif dalam menyatukan masyarakat, menyemai rasa hormat, dan memperkukuh semangat kebersamaan.

Sebagai rakyat Malaysia, sambutan Gawai dan Kaamatan seharusnya tidak hanya menjadi perayaan etnik tertentu, tetapi dirai sebagai sebahagian daripada identiti nasional – tempat kita semua berkongsi rasa bangga terhadap kepelbagaian yang menyatukan kita.

Dengan kejayaan Tuai Kasih, diharapkan lebih banyak karya seperti ini akan terus dihasilkan – karya yang bukan sahaja merakam keindahan budaya, tetapi juga menyatukan hati rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama, Awani Borneo, TVS yang turut menyokong dan menyiarkan iklan “Tuai Kasih” yang selari dengan hasrat YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI yang sentiasa mengutamakan keharmonian di negara ini.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button