Berita

Tuah beli baju anak menang Proton Saga 1.3 AT Premium

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 25 April – Tuah ayam nampak dikaki tuah manusia siapa yang tahu!

Bagi seorang fisioterapi skuad bola sepak Melaka United FC (MUFC) tidak menyangka penyertaan cabutan
bertuah di Grand Ramadan Bazar (Melgrab) Jalan Hang Tuah dekat sini memberi tuah apabila dia dipilih
menenangi Proton Saga 1.3 AT Premium bernilai RM50,000.

Muhammad Rozairen Hairudin, 30, berkata, ini kali pertama dia memenangi hadiah berupa sebuah kereta
sepanjang hidupnya menerusi cabutan bertuah.

Menurutnya, dia membeli-belah di bazar berkenaan dan berbelanja membeli pakaian anak tunggalnya, Firaz
Nadiz, 3, bernilai RM150, dua minggu lalu.

Katanya, sejurus selepas membeli, dia memperolehi lima kupon tiket bertuah diberikan oleh peniaga di mana
tiga kupon diisi atas nama isteri, Siti Nadiah Zulkifly, 30, manakala bakinya atas nama dia.

“Saya terkejut dihubungi oleh pihak penganjur memaklumkan saya memenangi kereta Proton Saga 1.3 AT
Premium. Mulanya saya ingat scammer yang menghubungi saya malam sebelum itu.

“Alhamdulillah rupanya memang betul nama saya dipilih sebagai pemenang. Ini rezeki anak tunggal saya yang
sangat bertuah menerima hadiah paling besar pernah saya terima.

“Tak terkata apa-apa, macam tak percaya pun ada selain rasa terkejut serta terharu menang hadiah kereta.
Ini mungkin sudah rezeki anak saya sempen sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima hadiah berkenaan daripada Pengerusi Jawatankuasa
Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada majlis perasmian
bazar berkenaan di sini malam tadi.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ibrahim Durum; Pengerusi Jawatankuasa
Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya
Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.

Muhammad Rozairen berkata, dia tidak bercadang untuk menjual kereta tersebut sebaliknya mahu
menggunakannya walaupun sudah mempunyai dua kenderaan iaitu Perodua Axia dan Perodua Viva.

Katanya, dia memang bercadang hendak membeli kereta baharu kerana kenderaan sedia ada sudah tidak selesa
apabila dia sudah mempunyai seorang cahaya mata.

“Syukur, rezeki datang mengolek dapat kereta baharu yang lebih besar dan cukup selesa untuk kegunaan kami
sekeluarga,” ujarnya.

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button