Berita

Trump jadi presiden ketiga Amerika berdepan tindakan dimakzulkan

Presiden Donald Trump hari ini menjadi ketua eksekutif ketiga dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) yang berdepan cabaran politik terbesar, dalam undian kongres untuk memecat beliau, lapor Bernama yang memetik agensi Anadolu.

Majoriti Demokrat di Dewan Perwakilan yang diketuai Speaker Nancy Pelosi meluluskan dua artikel undi tidak percaya iaitu salah guna kuasa dan menghalang Kongres, selepas sesi perdebatan.

Kedua-dua artikel dakwaan undi tidak percaya itu – penyalahgunaan kuasa dan menghalang kongres – kini akan dihantar ke Senat, di mana dia akan dibicarakan.

Hanya dua anggota Demokrat bertindak menyertai Republikan menentang dakwaan mengenai penyalahgunaan kuasa melalui perundangan persekutuan dengan undi 230-197.

Pusingan kedua menyaksikan artikel itu menerima undian 229-198.

Senat dikuasai Republikan kemudian akan memulakan pendengaran, Januari depan yang pasti akan cuba membebaskan presiden.

Bercakap kepada pemberita di Capitol sejurus selepas pengundian, Pelosi berkata ia adalah “hari yang penting untuk Perlembagaan Amerika Syarikat; juga hari menyedihkan bagi Amerika akibat tindakan melulu presiden.”

Siasatan pemecatan itu berkisar kepada tindakan Trump yang berulang kali meminta Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky membuka kertas siasatan terhadap calon Parti Demokrat Joe Biden dan anak lelakinya, Hunter serta dakwaan bahawa Ukraine adalah negara yang campur tangan dalam pilihan raya presiden AS pada 2016, bukannya Rusia.

Turut menjadi isu ialah penangguhan bantuan ketenteraan sebanyak AS$400 juta kepada Ukraine di peringkat kongres dan sama ada Trump telah memberi syarat untuk meluluskan bantuan itu serta kemungkinan terdapat mesyuarat Pejabat Oval dengan Zelensky berhubung tindakan presiden Ukraine itu yang mengumumkan siasatan tersebut (terhadap Biden dan anaknya) secara terbuka.

Rumah Putih berkata proses pemecatan itu sebagai “palsu” dan “satu episod politik paling memalukan dalam sejarah negara.”

“Tanpa menerima satu undi daripada Parti Republikan dan tanpa memberikan sebarang bukti mengenai salah laku itu, Demokrat terus berusaha mengetengahkan artikel yang dianggap tidak sah berhubung dakwaan terhadap Presiden melalui Dewan Perwakilan,” kata jurucakap Stephanie Grisham.

“Demokrat telah memilih untuk meneruskan dasar partisan ini walaupun Presiden tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya.

Ketika berucap di hadapan penyokongnya di Michigan, Trump menuduh Demokrat mempunyai agenda pendakwaan “murahan”, “siapa pun yang menjadi presiden, mereka akan mendapat panggilan telefon dan kemudian mereka didakwa.”

“Perwakilan Demokrat menunjukkan suara majoriti, maruah dan reputasi mereka, tetapi mereka kelihatan seperti sekumpulan orang bodoh,” katanya.

Dengan lulusnya kedua-dua artikel di Dewan yang dikuasai Demokrat, ia kemudian akan diserahkan kepada Senat untuk perbicaraan, di mana Parti Republik dijangka membebaskan presiden daripada kesalahan salah laku. Majoriti dua pertiga diperlukan untuk memecat Trump.

Sebelum ini, dewan pernah mengundi sebanyak dua kali untuk artikel pemecatan terhadap presiden. Presiden Andrew Johnson (1868) dan Bill Clinton (1998) dibebaskan dalam perbicaraan Senat manakala Trump muncul presiden ketiga akan dibicarakan.

Sementara itu, Richard Nixon meletak jawatan dari tahun 1974 untuk mengelakkan penyingkirannya akibat skandal Watergate.

 

(Visited 51 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button