
Trend jangkitan HIV semakin naik punca dari hubungan sejenis
DUA dekad lalu, sebahagian besar kes jangkitan HIV di Malaysia berpunca daripada perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah. Namun, trend itu kini berubah apabila hubungan seks menjadi punca utama penularan virus berkenaan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 135,035 kes jangkitan HIV direkodkan dari tahun 1986 hingga 2023. Daripada jumlah itu, sebanyak 3,220 kes baharu direkodkan pada tahun 2023, dengan 95 peratus berpunca daripada transmisi seksual, tiga peratus akibat penagihan dadah, dan dua peratus lain-lain faktor.
Golongan muda berusia 20 hingga 29 tahun mencatatkan jumlah tertinggi jangkitan baharu, mewakili 44 peratus daripada keseluruhan kes pada tahun lalu.
Menurut Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Dr. Zaiton Yahaya, statistik KKM menunjukkan 62 peratus kes transmisi seksual melibatkan hubungan sesama jantina, manakala 33 peratus dalam kalangan heteroseksual.
“Lebih membimbangkan, hampir 10 peratus daripada jangkitan baharu HIV berlaku dalam kalangan wanita yang mungkin dijangkiti melalui pasangan mereka. Amalan seks tidak selamat dan kurangnya kesedaran mengenai risiko jangkitan menjadi punca utama peningkatan kes ini,” katanya kepada Harian Metro.
Dr. Zaiton turut menegaskan bahawa stigma dan sikap negatif masyarakat terhadap HIV dan AIDS menyebabkan ramai individu berisiko tinggi enggan menjalani ujian saringan.
“Ketakutan dan stigma menghalang golongan ini daripada mendapatkan rawatan dan pencegahan awal. Oleh itu, penting bagi masyarakat untuk lebih terbuka dalam memahami cara jangkitan dan langkah pencegahan penyakit ini. Tanggungjawab kita adalah untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan memberi kesedaran bagi mengurangkan penularan HIV,” tambahnya.
MAC dan MAF turut berganding bahu dengan KKM dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani epidemik HIV serta mengurangkan impaknya terhadap masyarakat.