Nasional

Portal bahasa Mandarin: SPRM bergerak ke belakang – Asyraf Wajdi

LANGKAH Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal berbahasa Mandarin dianggap sebagai bergerak ke belakang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan SPRM itu tidak wajar selepas negara mencapai kemerdekaan selama 63 tahun.

Menurutnya, SPRM sebagai salah sebuah institusi utama negara seharusnya berperanan menjunjung dan mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan.

Inisiatif SPRM jelas bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebutkan ‘Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi’.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius pelancaran portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam bahasa Mandarin dengan alasan untuk memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya.

“Inisiatif SPRM ini sama sekali tidak boleh diterima dan dianggap merendahkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Asyraf Wajdi.

Justeru Pergerakan Pemuda UMNO menuntut agar SPRM dapat mengambil kira suara hati rakyat Malaysia yang rata-rata mahu Kerajaan dan pihak SPRM segera menarik-balik portal SPRM versi Mandarin.

SPRM Jumaat lalu secara rasmi telah melancarkan portal berbahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya,

Portal tersebut dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya,

SPRM berharap dengan kemudahan terbaharu itu ia dapat meningkatkan lagi keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM dan agenda antirasuah di samping menyebarluas mesej pendidikan pencegahan rasuah.

Portal berkenaan boleh dilayari di pautan https://www.sprm.gov.my/cn/ -SM

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button