Kemalangan

Treler Muatan Batu Kapur Rempuh Kenderaan, Pemandu Maut di Slim River

SEORANG pemandu treler maut manakala empat lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 366 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, antara Sungkai dan Slim River malam tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 10 malam apabila treler membawa muatan batu kapur dari Simpang Pulai, Ipoh hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain termasuk dua lori lima tan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser.

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, mangsa yang maut merupakan pemandu treler berusia 40 tahun dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk.

“Empat mangsa lain yang cedera termasuk dua pemandu dan dua kelindan lori terlibat. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.

Pemandu dan penumpang MPV Toyota Unser bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat melibatkan seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dan Bidor, yang mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

Insiden tersebut turut menyebabkan kesesakan teruk di laluan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button