Nasional

Transisi Tahfiz lonjak akademik pelajar tahfiz

Program Transisi Tahfiz tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dilaksanakan melalui KUIPs Services yang merupakan anak syarikat Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dilihat mampu menyediakan peluang lonjakan akademik dalam kalangan pelajar tahfiz di seluruh negeri Perlis.

Program berkenaan yang bermatlamatkan menyediakan proses penawaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada para pelajar institusi tahfiz di Perlis adalah signifikan kepada sasaran pendidikan MAIPs ke arah menyediakan modal insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat melancarkan ‘Program Transisi Tahfiz MAIPs Peringkat Maahad Tahfiz Al-Quran Miftahul Hidayah Beseri’ bertitah, para pelajar di institusi tahfiz di seluruh Perlis perlu mengambil peluang daripada pelaksanaan program ini agar alumni institusi tahfiz akan dapat diletakkan di arus perdana dalam bidang pendidikan negara.

“Sasaran MAIPs untuk memulakan penawaran SPM kepada pelajar aliran tahfiz di Perlis akhirnya menjadi kenyataan dan Beta berharap ianya disambut baik oleh pelajar dan ibu bapa demi memartabatkan maahad tahfiz selain meningkatkan kebolehpasaran pelajarnya,” titah baginda.

Turut mengiringi baginda ialah AMMK yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Beseri, Ruzaini Rais, Mufti, Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Hakim Syarie, Hj Ibrahim Deris dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan tersebut, Tuanku Raja Muda yang mengilhamkan inisiatif berkenaan turut berkenan mendengar taklimat berkaitan pelaksanaan program yang dipersembahkan oleh Penolong Rektor Pembangunan, Korporat & Jaringan Industri Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Badrul Hisham Abd Rahman.

Seramai 25 pelajar telah memulakan pengajian dalam program berkenaan yang turut bekerjasama dengan tenaga pakar daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

(Visited 522 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button