JenayahNasionalNegeri

Bomoh, pembantu diberkas pecah masuk premis curi beg, motosikal

MULANYA suspek hanya mencuri sebuah beg sandang dari kaunter juruwang di sebuah kedai runcit di Taman Sena, Kangar.

Bagaimanapun selepas 20 minit suspek kembali semula ke kedai itu untuk mencuri sebuah motosikal pula setelah menemui anak kuncinya di dalam beg sandang berkenaan.

Antara barangan dirampas berkaitan beberapa kes pecah masuk premis di Kangar.

Akhirnya sikap tamak ini telah memakan diri apabila suspek pertama iaitu seorang bomoh yang melakukan kerja jenayah selama 25 tahun dan suspek kedua yang juga rakan sekampungnya sebagai pembantu telah berjaya diberkas.

“Sekaligus dengan penahanan ini membolehkan pihak polis menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam ,” kata Ketua Polis Daerah Kangar, Assisten Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusof pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini hari ini.

Yusharifuddin berkata, siasatan bermula apabila pihaknya menerima laporan dari orang awam berkaitan kejadian curi beg dan motosikal di sebuah kedai runcit di Taman Sena pada pukul 10.56 malam, 5 November lalu sehingga menyebabkan kerugian RM8,000.

“Bertindak atas maklumat Ops Lejang/Pintu maka pada pukul 9 malam, pada 6 November lalu, sepasukan polis dari Balai Polis Kangar serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar telah membuat serbuan ke sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Repoh, Seberang Sungai, Kangar,” katanya.

Beliau berkata, dua lelaki di berusia 49 tahun dan 23 tahun ditahan.

“Hasil soal siasat kedua suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian beg dan motosikal berkenaan,” katanya.

Beliau memberitahu, suspek dalam kes ini mulanya mencuri beg sandang dalam premis itu dan kembali ke lokasi untuk mencuri pula motosikal mangsa dengan menggunakan kunci dalam beg sandang yang mereka curi.

Yusharifuddin berkata, suspek pertama berusia 49 tahun ini mempunyai 16 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah manakala suspek kedua berusia 23 tahun juga mempunyai 8 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Ujian saringan air kencing ke atas dua suspek juga positif dadah,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini bagi disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan (KK).

Yusharifuddin menunjukkan motosikal yang dicuri dan kenderaan suspek yang dirampas berkaitan kes pecah masuk premis di Kangar.

Katanya, suspek dalam kes ini turut mengaku terlibat dalam tiga kes jenayah yang lain dan akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK).

“Pihak polis juga menjumpai semula barang yang dilaporkan hilang oleh mangsa sebelum ini seperti komputer bimbit, tablet, pendrive dan sebagainya,” katanya. – SM

(Visited 34 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button