
Tragedi Pulang Bertugas: 8 Anggota FRU Maut Dalam Nahas di Teluk Intan
MISI pulang selepas bertugas berakhir tragedi apabila lapan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) disahkan maut dalam kemalangan membabitkan trak dinaiki mereka dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus – Sungai Lampan, pagi tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 8.54 pagi.

“Siasatan awal mendapati terdapat 16 individu dalam trak tersebut termasuk pemandu. Lapan daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Operasi menyelamat masih diteruskan dan beberapa mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, semua anggota FRU terlibat dalam insiden berkenaan baru sahaja selesai menjalankan tugasan kawalan perarakan sempena sambutan Hari Wesak dan sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh.