Politik

Darurat bukan jalan terbaik untuk tangguh pilihanraya

DARURAT bukan pendekatan terbaik untuk diambil bagi menangguhkan Pilihanraya Kecil Batu Sapi dan Pilihanraya Negeri Sarawak dalam situasi Malaysia masih berdepan dengan suasana pendemik Covid-19.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau memahami kebimbangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kedua-dua pilihan raya yang terpaksa dilakukan kerana mengikut undang-undang.

Mohamad berkata, untuk PRK Batu Sapi, BN telahpun mengisyiharkan untuk tidak bertading dan beliau turut menyeru parti lain untuk turut tidak bertanding.

Sebaliknya memberikan laluan kepada Warisan bagi bertanding di Parlimen Batu Sapi tanpa di cabar.

“Ini sebagai menghormati mendiang Datuk V. K Liew, bekas Ahli Parlimen Batu Sapi dan mengelakkan pilihanraya kecil diadakan waktu ini.

“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak korona kepada masyarakat. Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” kata Mohamad.

Bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak pula, Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai masa sehingga bulan Jun tahun depan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Selepas DUN dibubarkan pada bulan Jun, Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai tempoh dua bulan lagi sehingga Ogos untuk melaksanakan PRN Sarawak.

“Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.

“Saya sangat meyakini kebijaksanaan YAB Ketua Menteri Sarawak dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak,” kata Mohamad.

Menurutnya, Malaysia mempunyai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas dan mampu mengendalikan pilihanraya dalam keadaan apa sekalipun sesuai keperluan Perlembagaan.

Jelas Mohamad, SPR memiliki kewibawaan untuk memastikan proses demokrasi berjalan dan untuk suruhanjaya itu membuat keputusan cara untuk mengendalikan pilihanraya dengan protokol kesihatan sewaktu pandemik.

“Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekalipun.

“Justeru itu, semua pihak mesti menghormati kearifan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik Kerajaan mengawal pandemik waktu ini,” kata Mohamad.-SM

 

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button