
Tradisi Tak Pernah Mati, Showcase Seri Malaya Satukan Muzik, Tarian dan Lakonan
ACARA mengangkat kesenian muzik melayu bakal menjanjikan pengalaman seni yang unik menerusi gabungan muzik tradisional, tarian dan lakonan, membawakan 12 lagu tradisional Melayu dalam usaha melestarikan budaya warisan Malaysia.
Menurut pengarah program, Muhammad Rozaidy atau lebih dikenali sebagai Rojer Kajol, penganjuran Showcase Seri Malaya adalah khusus untuk mengangkat muzik tradisional Melayu agar terus relevan dan dikenali masyarakat.
Dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures, Persatuan Ghazal Johor Malaysia, ARTease serta Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, showcase ini merupakan manifestasi kecintaan terhadap seni dan budaya tanah air.
“Showcase ini memang khas untuk pencinta tradisi Melayu, khususnya kepada yang meminati Ghazal, Joget dan Inang. Saya percaya masih lagi ada orang lama dan orang baru yang masih meminati muzik tradisi ini,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama dengan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur membuka ruang kepada generasi muda untuk menghargai dan mendalami seni budaya warisan.
“Penglibatan kali ini bersama anak-anak seni Sekolah Seni Kuala Lumpur — daripada penari hingga pelakon cilik — menunjukkan bahawa seni Melayu ini tidak semestinya hanya milik orang lama. Kita mahu dedahkan semuanya kepada orang muda,” jelasnya.
Istimewanya, persembahan juga akan diserikan dengan unsur sketsa penceritaan dan infografik seni:
“Semasa show, kita akan buat sketsa penceritaan dan selitkan infografik untuk seni Malaya ini. Saya juga ada selitkan biografik saya sendiri dalam usaha memartabatkan kesenian muzik asli,” katanya sambil menegaskan, “Seni itu bergantung kepada keindahan — berseri dengan sinar.”
Barisan persembahan utama menampilkan Rojer Kajol, Asmidar, Kajol Zuraidah, Orkes Melayu Rojer, serta pelakon cilik Mikael Noah, diiringi penari dan pelakon muda dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.
Genre muzik yang bakal dipersembahkan termasuk Zapin, Joget, Inang, Asli dan Ghazal — genre bernilai tinggi yang semakin jarang diketengahkan namun penuh dengan jiwa dan sejarah.
Showcase Seri Malaya mengetengahkan pendekatan penceritaan bersepadu — muzik, tarian dan lakonan digabungkan dalam bentuk naratif, menjadikan persembahan bukan sekadar hiburan, tetapi juga menyentuh emosi dan mendidik jiwa.
Tiket masuk dijual pada harga RM100 (Zon VIP), RM50 (Zon A) dan RM40 (Zon B). Semua lapisan masyarakat dijemput hadir bagi menikmati satu malam istimewa yang meraikan warisan, budaya dan seni bangsa.