Nasionalpilihan

TPM buat pengumuman penting petang ini

SELEPAS ketibaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Istana Negara untuk mengadap Agong pagi tadi, satu sidang akhbar akan dilakukan petang ini.

Difahamkan, pengumuman itu akan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kira-kira pukul 4 petang nanti.

Pengumumkan itu juga dikatakan berkaitan dengan pendirian Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Sinar harian yang memetik sumber berkata, pengumuman itu dipercayai sebagai respon kepada sidang media Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

“Semalam (malam Selasa), Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sendiri sebelum bertemu sebilangan ahli-ahli Parlimen BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap kemelut politik yang berlaku.


“Pelbagai opsyen telah dikemukakan dalam dua pertemuan itu dengan Ismail Sabri sendiri akan mengumumkan pendirian terkini ahli-ahli Parlimen BN dalam satu sidang media pada petang ini (Rabu),” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata sejumlah 40 Ahli-ahli Parlimen BN bersetuju untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Ahmad Zahid berkata sekurang-kurangnya 12 Ahli Parlimen UMNO disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN antaranya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Said Othman dan Ahli Parlimen Parit, Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria.

Turut bersama-sama Ahmad Zahid adalah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim; Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor. -SM

(Visited 269 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button