Ekonomi

Anwar berjaya tarik pelaburan RM170 bilion dari China

Malaysia memperoleh komitmen pelaburan dari China sebanyak RM170 bilion terbesar dalam sejarah hasil lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China selama empat hari.

Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara tersebut di hadapan ribuan pelabur dan ahli perniagaan berkata pencapaian tersebut adalah tertinggi direkodkan dalam sejarah daripada pelabur China.

Ia adalah hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dan China sebentar tadi.

“Kita telah mencapai komitmen sebanyak RM170 bilion dan saya perlu berterima kasih kepada para pelabur kerana memberi kerjasama dan keyakinan kepada Malaysia.

“Ini adalah untuk masa depan Malaysia,” katanya dalam pengumuman ringkas itu, di Beijing lapor Astro Awani.

Antara syarikat terlibat merangkumi sektor perumahan, pembinaan, pendidikan, teknologi, pertanian, serta tenaga.

Pemeteraian memorandum berkenaan disaksikan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Turut hadir Menteri Perdagangan, Antrabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Menteri Pelancongan dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah pelaburan besar diumumkan Perdana Menteri itu membabitkan komitmen pelaburan syarikat swasta dari China.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM10 bilion komitmen pelaburan dipersetujui hasil pertemuan Anwar bersama 50 pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada sesi meja bulat.

Manakala, RM70 bilion lagi adalah daripada pemeteraian 19 MoU pada forum berkenaan.

Sementara itu dalam hantaran ke Facebook beliau Anwar berkata hari ini telah termeterai sebanyak 19 MoU di antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat Republik Rakyat China seusai sesi perbincangan meja bulat dengan tokoh-tokoh perniagaan dari republik itu pagi tadi.

Jumlah komitmen pelaburan yang mencecah RM170 bilion itu adalah yang tertinggi dari China ke Malaysia dengan sektor yang tertumpu adalah teknologi hijau dan ekonomi digital.

“Dengan termeterainya perjanjian persefahaman ini, maka saya yakin ia mampu melonjak ekonomi negara, dan pastinya akan wujud ‘spillover effect’ kepada perusahaan industri kecil dan sederhana tempatan,” katanya.

 

(Visited 513 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button