Politik

NAFAS buat siri jelajah sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan dan menyewa hotel itu sehingga 30 atau 31 Oktober lalu, selepas tarikh itu adalah kempen PRK Tanjung Piai

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, menjelaskan tarikh sewaan kononnya bermula 15 Oktober hingga 15 November lalu juga tidak tepat, sebaliknya pada 30 atau 31 Oktober bertujuan untuk mengadakan jelajah sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan.

“Sebenarnya mengikut dokumen yang saya terima, NAFAS buat siri jelajah sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan dan menyewa hotel itu sehingga 30 atau 31 Oktober lalu. Selepas tarikh itu adalah kempen PRK Tanjung Piai dan NAFAS tidak terbabit.

“Jelajah itu dibuat di Simpang Renggam, Johor Bahru dan Pontian. Jadi itulah jelajah yang kita adakan. NAFAS membantu kita membuat siri jelajah itu kerana Johor adalah tuan rumah, maka mereka menyewa hotel terbabit,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berhubung dakwaan sewaan 38 bilik hotel sempena PRK Parlimen Tanjung Piai yang diinvoiskan kepada NAFAS dan prosedur berhubung tender terbuka.

Salahuddin menegaskan, jika berlaku penyelewengan seperti didakwa itu, mereka yang mempunyai bukti diminta membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis bagi mengelak ia menjadi fitnah.

Baru-baru ini, tular di media sosial mendakwa terdapat 38 bilik hotel disewa di bawah NAFAS sempena PRK berkenaan bagi tempoh 15 Oktober sehingga 15 November lalu di Pontian, bagi menempatkan petugas pilihan raya Parti Amanah Negara (AMANAH).

Malah, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) sebelum ini mendakwa amalan salah guna kuasa berlaku susulan tindakan kerajaan membatalkan pemilihan tiga kontrak berkaitan padi melalui tender terbuka, membabitkan nilai lebih RM1 bilion.

Ia merangkumi dua projek pembekalan input pertanian sektor padi bernilai RM1.4 bilion serta membekal, penghantaran dan kerja pengkapuran membabitkan kontrak bernilai RM54.28 juta.

Pembatalan itu dakwanya dibuat selepas kementerian dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada NAFAS secara rundingan terus.

Bagaimanapun, Salahuddin menafikan dakwaan terbabit walaupun mengakui beliau ada menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memohon lantikan terus kepada NAFAS untuk memperoleh kontrak berkaitan padi daripada kementeriannya.

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button