Pendidikan

Total lockdown: Pusat tuisyen mohon bantuan kerajaan

‘Total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara yang akan bermula Selasa depan wajar dilaksanakan.

Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM) berpendapat, langkah tersebut amat perlu dalam mengekang penularan virus Covid-19 yang melebihi 8,000 kes harian semalam.

PPPTMM yang mewakili suara lebih 60 pengusaha pusat tuisyen muslim seluruh negara akur dengan keputusan tersebut yang tidak membenarkan semua sektor beroperasi kecuali ekonomi dan perkhidmatan perlu bagi tempoh 14 hari.

Muhamad Huzaimi

Ketua Biro Penyelidikan dan Pembangunan PPPTMM Ts Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar bagaimanapun berkata, tindakan itu memberikan impak besar ekonomi terhadap hampir keseluruhan pengusaha tuisyen di negara ini.

“Malah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac tahun lepas industri tuisyen merupakan sektor yang paling teruk terjejas di mana hanya dapat beroperasi lebih kurang 3 bulan saja.


“Ini mengakibatkan ada di kalangan pengusaha yang terpaksa gulung tikar dan beralih kepada model perniagaan baharu, selain menutup beberapa cawangan bagi mengurangkan kos operasi akibat terpaksa menanggung sewa bulanan bagi premis yang tidak digunakan,” katanya.

Justeru, PPPTMM yang mewakili pengusaha tuiysen di seluruh negara menggesa agar kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada ahli persatuan.

Kerajaan juga diminta untuk melaksanaan moratorium kepada pengusaha pusat tuisyen yang terpaksa menutup operasi perniagaan hampir 10 bulan akibat pelaksanaan PKP tahun lepas.

Katanya, total lockdown adalah tempoh paling getir dan kritikal buat pengusaha pusat tuisyen yang menjalankan perkhidmatan pendidikan secara sepenuh masa kerana ada diantara ahli menjadikan perniagaan ini sebagai satu-satunya punca pendapatan mereka.

“Biarpun kebanyakan pengusaha sudah menukar strategi dengan menutup pusat tuisyen dan beralih kepada pembukaan kelas dalam talian namun pendapatanya yang di raih tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan serta kos operasi bagi mendapatkan capaian internet.

“Ini berpunca daripada keengganan ibu bapa meneruskan kelas dalam talian kerana mengganggap ianya kurang berkesan. Selain itu, faktor peperiksaan menyebabkan hampir separuh pelajar menamatkan kelas tuisyen susulan pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 2021 pada penghujung April lepas,” kata Muhamad Huzaimi.-SM

 

(Visited 143 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button