fbpx
Berita

Tol : Jangan terpedaya dengan hasutan dan pengiraan dibuat pembangkang

GEORGE TOWN, 2 Feb — Rakyat diminta untuk menilai manfaat daripada pengurangan tol sebanyak 18 peratus yang diberikan kerajaan serta tidak terpedaya dengan hasutan serta dakyah-dakyah berhubung pengiraan yang dibuat oleh pihak pembangkang berhubung kadar bayaran diskaun tol itu dalam usaha mereka mengaburi mata rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pihak pembangkang dilihat cuba mempersoalkan pengurangan kadar tol yang diberikan kerajaan baharu Pakatan Harapan dengan membuat perbandingan tempoh pengiraan yang perlu ditempuhi rakyat sepanjang tempoh konsesi tol itu sehingga 2058.

“Pihak tertentu tidak tahu kira dan sengaja menyatakan bahawa apabila kita melanjutkan konsesi sepanjang 20 tahun dan mengurangkan tol sebanyak 18 peratus, mereka cakap itu merugikan rakyat tetapi mereka tidak mahu mahu jelaskan bahawa semasa mereka (kerajaan dahulu) melanjutkan konsesi 20 tahun di bawah kerajaan dahulu, mereka tidak pun mengurangkan kadar tol,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh  di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sing Kang di sini hari ini.

Lim berkata menerusi pengurangan kadar tol tersebut, ia telah memberikan penjimatan yang besar kepada rakyat dan juga kerajaan.


“Kita kurangkan kadar tol 18 peratus kita tidak perlu membayar pampasan bermakna kerajaan jimat sebanyak RM28 billion. Ia satu penjimatan besar. Sungguh pun kita buat usaha-usaha ini untuk rakyat Malaysia, masih ada orang dari parti lawan yang cakap potongan 18 peratus  ini  tidak bermakna kerana kita telah melanjutkan konsesi selama 20 tahun.

Pertamanya mereka (pembangkang). cakap, mengapa kita tak bagi percuma, apa kita boleh buat …kalau kita  nak bagi percuma boleh, kita kena  keluarkan wang untuk beri balik pada konsesi, puluhan billion.  Itu sebab kita cari alternatif lain iaitu kita melanjutkan tempoh konsesi tol selama 20 tahun tetapi ada pengurangan tol sebanyak 18 peratus dan ia tidak akan naik sehingga 2058 pun masih harga sama,” katanya.

Lim berkata berhubung kadar pengiraan yang dibuat pembangkang berhubung kadar baharu bayaran tol itu, Lim berkata rakyat perlu menilai perkara berkenaan dari aspek “faktor diskaun” yang lebih memberikan manfaat dan penjimatan.

“Ada yang membuat perkiraan, mereka cakap  18 tahun anda bayar RM10.  Lebih baik tak berbanding  selama 38 tahun hanya membayar RM82 ringgit  kerana 100 ringgit adalah untuk tempoh selama 18 tahun,” katanya.

Lim berkata rakyat juga perlu memikirkan nilai wang yang akan dibayar untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Contohnya hari ini anda membayar RM1,000 dan dalam tempoh 10 tahun lagi anda masih membayar nilai yang sama, anda boleh rasai manfaat akan nilai wang pada masa itu dengan hanya masih membayar nilai sama, sudah tentu 10 tahun lagi nilai wang RM1,000 itu sudah tidak sama dengan hari ini,” katanya.

Semalam, jutaan rakyat Malaysia mula menikmati kadar tol 18 peratus lebih rendah yang merupakan satu penjimatan yang cukup ketara buat semua pengguna.

Bukan sahaja pengguna lebuh raya, malah penstrukturan semula konsesi PLUS itu juga membolehkan kerajaan membuat penjimatan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi baharu sehingga 2058.

Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 15 Jan, 2020 lalu telah memutuskan diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus itu akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) di  lebuh raya yang terlibat iaitu Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA),Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE).

Diskaun itu juga diberikan kepada kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button