Politik

Tok Mat adalah jelmaan Tun Mahathir

DATUK Seri Mohamad Hasan sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa beliau merupakan seorang pemimpin korporat hebat yang urusannya di seluruh dunia.

Umpamanya jika sarapan pagi di London beliau akan makan tengah hari di Jepun dan makan malam di China. Begitulah kehidupan beliau seharian menguruskan sebuah syarikat antarabangsa.

Hinggalah Tun Dr. Mahathir Mohamad memanggil beliau pulang ke tanah air untuk membantu urusan politik negara.

Mohamad Hassan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat adalah lambang pemimpin yang penuh integriti dan seorang yang tidak bertolak ansur soal yang remeh temeh menjadi penghalang kepada tercapainya matlamat yang lebih besar.

Sikap serta gaya pemimpin korporat beliau kadangkala tidak digemari oleh pemimpin politik lain kerana beliau akan bergerak ke hadapan walaupun keseorang hanya dengan asas keyakinan melakukan perkara yang benar.

Banyak lagi ciri-ciri beliau yang jika ditulis nanti dianggap untuk membodek beliau pula tulisan ini. Suara Merdeka tidak  mempunyai sebarang kepentingan dengan Tok Mat. Tetapi daripada pengalaman berurusan dengan Tok Mat beliau boleh dianggap sebagai jelmaan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jika negara mahukan pengganti Dr. Mahathir seorang yang bekerja keras dan disenangi rakyat serta penuh integriti, orang yang harus dipilih dan diterima adalah Tok Mat.

Semasa pilihan raya kecil Rantau, Tok Mat bergerak seolah-olah `one man show’  kerana beliau tahu yang perlu dilakukan. Hinggakan ada pegawai yang cuba mengikuti semasa berkempen disuruhnya pulang melunaskan tugas masing-masing daripada hanya menyibuk mengiringi calon.

Jadi tidak hairan apabila Ilham Centre menyatakan Pakatan Harapan (PH) berhadapan masalah besar jika  Tok Mat memimpin, mengemudi UMNO dan Barisan Nasional serta Muafakat Nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr. Mohd .Yusri Ibrahim berkata, ramalan itu dibuat selepas meneliti dengan tekun personaliti kepemimpinan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 sehingga tamat ucapan penangguhan beliau hari ini.

“Saya boleh rumuskan, andai sosok ini memimpin UMNO, mengemudi BN/Muafakat Nasional serta dinamakan sebagai bakal PM menjelang PRU15 nanti, PH akan berhadapan dengan masalah besar.

“Namun di sebalik karakter unggul tersebut, perlu diakui bahawa Tok Mat bukanlah dalam kalangan warlord berpengaruh UMNO sekarang ini, peluangnya tidak menentu,” katanya menerusi akaun status Facebook Ilham Centre hari ini.

Kini Tok Mat diberi tanggungjawab untuk mengetuai jentera pilihan raya kecil di Kimanis Sabah kerana UMNO akan meletakkan calon mereka.

Tok Mat semasa  perhimpuan agung UMNO lebih gemar menekankan  pemerkasaan parti dan penyusunan strategi untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Lihat sahaja ucapan beliau yang penuh dengan isi dan panduan semasa perhimpunan yang baru minggu lepas berlangsung.

Katanya, UMNO tidak boleh bergantung hanya semata-mata kekuatan yang datang dari luar kerana apa yang utama adalah kekuatan mestilah datang dari dalam parti itu sendiri.

“Dua hala tuju perkasa parti dan susun strategi untuk menang pilihan raya. Dalam apa jua parti mesti diperbetulkan dan diperkasakan walaupun kita ada Muafakat Nasional dan apa-apa gabungan yang lain.

“Jangan kita berharap sangat dengan bantuan dari luar. Kalau kita kuat, akan pasti dapat menubuhkan kerajaan yang baik, bila kuat orang akan datang kepada kita.

“Janganlah kita bersikap sambil lewa dan terlampau berharap kepada orang kerana beberapa ketika kebelakangan ini saya lihat penyatuan ummah dan Muafakat Nasional telahpun beri satu petanda kepada kita dah rileks sangat, dah tak perlu nak buat apa-apa dah, macam dah ada satu jaminan bahawa kita akan tetap menang pilihan raya tambahan pula dah menang di (Pilihan Raya Kecil-PRK) Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan menang besar di Tanjung Piai. Jangan,” tegasnya .

Jelasnya, PRK adalah medan pertempuran kecil bagi memastikan strategi yang digarap berkesan atau tidak dan untuk memperbetulkan kaedah-kaedah bagi menghadapi PRU.

Tambahnya juga, kemenangan di PRK bukan satu jaminan parti akan menang di dalam PRU kerana kedua-duanya wujud situasi yang berbeza.

“Ini bukan satu jaminan kerana PRK dan PRU dua perkara yang amat berbeza. Strategi berbeza isu pun berbeza. Jadi untuk kita menang PRU mesti susun strategi baik-baik, perbetulkan parti kita.

“Banyak sebab-sebab kita kalah pada PRU-14, antara sebabnya dari isu tempatan sendiri. Bila keluar sahaja nama calon banyak peti undi yang ditutup.

“Dah angkat sumpah di dalam dewan yang mulia ini…semua sumpah siapa sahaja pemimpin menamakan sebagai wakil parti untuk pilihan raya, bahawa kita bersumpah Wallahi Wabillahi Watallahi akan menerima tetapi apabila keluar sahaja nama calon banyak peti undi yang tutup. Ini banyak berlaku di banyak tempat, parlimen dan negeri. Ini kita perlu perbetullkan,” tegurnya lagi.

Strategi yang disusun juga pesannya tidak perlu didedahkan kepada pihak-pihak yang tidak sepatutnya.

“Jangan ditelanjangkan UMNO ini. Rahsia tetap rahsia kita, janganlah dedahkan sangat ini nak buat itu nak buat, jangan kita bagi strategi kepada orang yang tak sepatutnya. Perkasakan strategi khas untuk kita.

“Strategi mesti dalam dada, langkah kita jangan dibaca dek orang. Jejak jaga elo-elok. Strategi UMNO buat elok-elok supaya kita faham antara satu sama lain,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menyeru semua pendukung parti memperbaiki sikap dan tingkatkan semangat.

“Sikap kita yang perlu diperbaiki untuk pastikan perjuangan orang Melayu ini perjuangan yang tidak akan ada noktahnya.

“Perbaikilah kerana dengan sikap yang baik, dengan semangat yang tinggi saya yakin bahawa Pakatan Harapan (PH) yang tak seberapa sangat ini akan dapat kita tewaskan dengan strategi dan gerak kerja yang baik pada PRU-15 nanti, InsyaAllah.

“Sekarang ini pun sedikit demi sedikit kita sudah dapat tewaskan mereka. Penolakan rakyat amat besar tetapi terpulang kepada kita untuk menyambut penolakan tersebut dengan kita meneliti keadaan sekitar bagaimana kita sekarang dan ubahlah mana-mana yang tidak disukai orang supaya orang boleh menerima kita semula dan memberikan kita peluang semula untuk meneruskan perjuangan yang belum ada kesudahannya ini,” serunya lagi, sambil menyatakan keyakinan kedua-duanya mampu menjadi faktor kemenangan.

Jika negara ini mahu ke hadapan orang dipilih untuk menggantikan Dr. Mahathir bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Azmin Ali, mahupun Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Orangnya ialah Tok Mat.

(Visited 992 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button