Sukan

Tok Gajah optimis beri tentangan sengit kepada Kedah

KUANTAN — Prestasi semasa skuad bola sepak Pahang menjadikan mereka yakin dapat memberi tentangan hebat kepada juara Piala FA, Kedah, pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung esok.

Pengendalinya Dollah Salleh juga bersyukur kerana semua pemain yang cedera sebelum ini kembali pulih menjelang perlawanan penting itu, membolehkan mereka kembali membantu pasukan meneruskan kemaraan, untuk merangkul Piala Malaysia musim ini.

“Pemain yang sudah pulih sememangnya melegakan kita untuk bertandang ke gelanggang lawan, cuma setakat ini, apa yang saya khuatir adalah jika mereka berada pada tahap kecergasan terbaik mereka. Namun mereka benar-benar fokus dan bersungguh-sungguh, dan ini hilangkan tekanan pada saya.

“Apabila Pahang bertemu Kedah, saya percaya kedua-dua pasukan sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan lawan menjadikan perlawanan esok lebih menarik,” katanya ketika ditemui Bernama selepas latihan skuad Pahang di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Dollah mengakui Tok Gajah perlu berwaspada dengan Kedah dalam keghairahan merobek gol lawan, kerana mereka ialah adalah pasukan yang kental dan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.

Katanya, perlawanan sebelum ini juga menunjukkan Kedah hanya tewas dengan jaringan kecil menyebabkan beliau menjangkakan Tok Gajah perlu bekerja keras dan tidak boleh leka sepanjang perlawanan.

Dollah berkata beliau boleh menarik sedikit nafas lega kerana beberapa tonggak utama Tok Gajah seperti Dickson Nwakaeme sudah bersedia untuk menggalas cabaran Pahang membenam skuad Lang Merah.

“Penyerang kita, Lazarus Kaimbi yang cedera sebelum ini juga masih tajam apabila turun ke padang latihan hari ini, manakala Nor Azam Azih pula boleh katakan kecergasannya ialah 50-50… hanya Mohd Muslim yang sudah pasti tidak dapat bermain.

“Saya tidak bimbang dengan Safuwan Baharuddin, kerana percaya dia akan memainkan peranannya dan Saddil Ramdani yang tidak berapa menjadi ketika mewakili Indonesia, kini juga nampak lebih bersemangat,” katanya.– BERNAMA

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button