Sukan

YTSP sumbang RM4,000 kepada Uzzair Zayyan

Pemain bola sepak remaja, Uzzair Zayyan Naimulddin yang akan berangkat ke Phuket, Thailand bagi mengikuti latihan bersama Akademi Bola Sepak Cruzeiro dari Brazil di British International School Phuket (BISP), menerima sumbangan RM4,000 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).

Sumbangan tersebut disampaikan oleh anakanda Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail kepada Uzzair Zayyan, 12, di Padang New Trafford, Istana Arau hari ini.

Syed Sirajuddin Areeb Putra juga turut berkenan mengurniakan sehelai jersi Istana FC Juniors sebagai tanda penghargaan dan sokongan selain memberikan motivasi kepada pelajar yang berasal dari Beseri itu untuk mengharumkan nama negeri Perlis.

Sebelum ini Uzzair Zayyan menerima biasiswa sukan bola sepak berjumlah RM120,000 setahun dan akan diserap di bawah program High Performance Team (HPT) yang dikendalikan oleh Cruzeiro Football Academy Brazil.

Syed Sirajuddin Areeb Putra turut berkongsi minat yang sama dalam sukan bola sepak, begitu berbangga dengan pencapaian adik Uzzair Zayyan yang membawa nama negeri Perlis ke peringkat antarabangsa dan sentiasa memberikan sokongan kepada beliau.

Uzzair Zayyan akan mula mendaftar masuk ke BISP pada 23 Ogos depan namun bertolak awal pada 1 Ogos ini bagi menjalani sesi kuarantin terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk mendaftar masuk di sana.

Ayah Uzzair Zayyan, Naimulddin Haron ketika ditemui pemberita berkata beliau berbangga kerana anak jati Perlis sendiri boleh melangkah ke sana dan dilatih oleh kelab terkenal selain menimba ilmu dan pengalaman ketika berada di negara luar.

Uzzair Zayyan pernah menyertai pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong, ketika berusia lapan tahun malah pernah ditawarkan menyertai kem bola sepak di peringkat antarabangsa bersama kelab Eropah dari Belanda, Ajax Amsterdam di bawah tajaan TH Global awal tahun lepas namun ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19.

— BERNAMA

GALERI FOTO:

 

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button