fbpx
EkonomiNasional

TNB mahu tarif adil, telus dalam pelarasan ICPT

TENAGA Nasional Bhd (TNB) menyokong keputusan kerajaan untuk melaraskan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2020.

Langkah ini akan memastikan pengguna terus mendapat manfaat daripada harga elektrik yang telus dan saksama.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, syarikat itu menyokong keputusan untuk meneruskan ICPT, yang merupakan satu mekanisme yang begitu manfaat kepada industri sejak 2014 dan kekal relevan dalam persekitaran harga bahan api yang tidak menentu.

“Sebagai sebuah syarikat utiliti, TNB dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan beroperasi dalam persekitaran yang terkawal termasuk oleh mekanisme ICPT.
“Seperti yang ditetapkan oleh keputusan ST menerusi ICPT, TNB akan memaparkan perubahan pada kos bahan api serta lain-lain kos penjanaan dalam tarif elektrik pada setiap enam bulan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ST hari ini mengumumkan pelanjutan ICPT untuk enam bulan yang berakhir 31 Dis 2020 dengan pengurangan ICPT daripada kadar surcaj 2.00 sen/kWh kepada 0.00 sen/kWh.

Sebagai badan pengawalselia industri tenaga negara, ST menentukan pengiraan dan metodologi ICPT untuk tempoh setiap enam bulan, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.


Amir Hamzah ketika mengulas mengenai pengurangan ICPT  berkata ia mencerminkan penurunan sebenar harga bahan api global bagi tempoh enam bulan lepas.

Untuk tempoh Januari hingga Jun 2020, kos bahan api jatuh sejajar dengan penurunan harga bahan api sebenar di bawah penanda aras harga bahan api yang ditetapkan dalam tarif asas untuk Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) bermula 2018 hingga 2020.

Purata harga arang batu sebenar (ACP) pada Januari hingga Jun 2020 berada pada US$69.5/MT berbanding dengan harga penanda aras barang batu yang ditetapkan dalam tarif asas pada US$75/MT.

Manakala harga gas bagi tempoh yang sama ialah RM26.6/mmBTU iaitu lebih rendah daripada harga penanda aras yang ditetapkan dalam tarif asas sebanyak RM27.20/mmBTU.

“Perubahan harga bahan api tidak dipaparkan serta-merta dalam tarif kepada pengguna kerana terdapat perbezaan masa kira-kira sembilan bulan di antara pergerakan harga bahan api dan tempoh sebenar pergerakan yang memberi kesan kepada sektor tenaga.

“Ini bermakna apabila harga bahan api adalah rendah, pengguna hanya mendapat manfaat daripada pelepasan kos bahan api dengan mendapat tarif yang lebih rendah yang bermula 12 bulan kemudian.

“Begitu juga, jika harga bahan api adalah tinggi, ia akan hanya memberi kesan kepada pengguna kemudian, lantas memberi peluang untuk sistem melakukan penyesuaian,” jelas beliau.

Bagaimanapun, dalam kerangka industri yang dikawal selia, TNB sebagai syarikat utiliti utama terus komited untuk memastikan pelanggannya mendapat bekalan elektrik yang stabil termasuk perkhidmatan pelanggan yang bertaraf dunia, dan kekal kukuh dalam usaha menerangi kehidupan. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button