
TMJ Setuju Tukar Tanah di Tengah Kota Singapura, Fokus Pembangunan Baharu
PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ), dilaporkan bersetuju untuk menukar sebidang tanah milik peribadi keluarga Diraja Johor di Singapura dengan tanah milik kerajaan republik itu dalam pertukaran bernilai sekitar RM20 bilion.
Pertukaran ini membabitkan tanah seluas 13 hektar milik TMJ di kawasan strategik Holland Road, yang terletak berhampiran Taman Botani Singapura — tapak warisan dunia UNESCO. Sebagai balasan, kerajaan Singapura akan menyerahkan 8.5 hektar tanah milik negara itu kepada TMJ.
Menurut sumber, pertukaran ini telah dipersetujui kerana kedua-dua kawasan dianggap mempunyai nilai pasaran yang setara.
TMJ dilaporkan bercadang untuk membangunkan semula tanah tersebut sebagai kawasan kediaman bertingkat rendah. Bagaimanapun, segala pembangunan perlu melalui kelulusan Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan agensi berkaitan, termasuk kajian kesan terhadap alam sekitar.
Dalam masa sama, kerajaan Singapura memaklumkan bahawa tanah yang bakal diterima sebagai pertukaran itu tidak akan dibangunkan buat masa ini. Namun, ia tetap berpotensi digunakan dalam perancangan masa depan negara tersebut.
Pertukaran ini dilihat sebagai satu langkah strategik yang bukan sahaja melibatkan kerjasama rentas sempadan, tetapi juga mencerminkan hubungan diplomatik dan ekonomi erat antara Singapura dan Johor.