Luar Negara

Covid-19: New Zealand usaha capai sifar kes

NEW ZEALAND kemungkinan tidak dapat kembali mencatatkan angka sifar kes Covid-19 dalam komuniti, kata Ketua Pengarah Kesihatannya, Ashley Bloomfield  hari ini.

Beliau berkata demikian ketika negara tersebut berusaha untuk membasmi virus varian Delta yang mudah merebak.

New Zealand mampu menghapuskan Covid-19 tahun lepas dan sebahagian besarnya bebas virus itu dengan hanya jumlah kecil kes dicatat pada Februari lalu.

Sehinggalah penularan terbaharu varian Delta yang berlaku pada bulan lepas yang memaksa Perdana Menteri, Jacinda Ardern melaksanakan sekatan pergerakan di seluruh negara.

Untuk makluman, Auckland masih dalam “lockdown” dengan sedikit kes baharu dilaporkan setiap hari.

“Kita mungkin tidak dapat kembali kepada sifar tetapi yang penting, kita terus mencari jangkitan dan pada dasarnya meneruskan pengesanan kontak, ujian dan mengasingkan individu supaya kita dapat menghentikan penularan virus dalam komunit. Itu matlamatnya,” kata Bloomfield kepada Radio New Zealand.

Bloomfield berkata, matlamat sekarang ialah cuba mengatasi penularan itu dan meningkatkan kadar vaksinasi.

“Meningkatkan kadar vaksinasi lebih 90 peratus. Itu sama sekali cara baharu untuk kita kembali kepada kebebasan yang kita miliki dahulu,” katanya.

Sekatan pergerakan ketat yang dilaksanakan Perdana Menteri Ardern dan penutupan sempadan antarabangsa sejak Mac 2020 membantu membendung Covid-19.

Akan tetapi kerajaan itu kini berdepan dengan persoalan mengenai penangguhan vaksinasi.

Selepas permulaan vaksinasi ditunda, New Zealand meningkatkan imunisasi dengan hampir 40 peratus daripada 5.1 juta populasi di negara itu kini lengkap divaksin.

Pihak berkuasa melaporkan 23 kes baharu Covid-19 hari ini, semuanya di Auckland menjadikan keseluruhan jangkitan kini meningkat kepada 1,080 kes.

Dalam sidang media harian Covid-19, Menteri Respons Covid-19, Chris Hipkins bagaimanapun berkata, kerajaan tidak berputus asa untuk mencapai kes sifar.

“Kita tidak akan berputus asa untuk kembali kepada sifar. Itulah yang kita perjuangkan,” katanya. – SM

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button