NegeriPolitik

Sultan Nazrin perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal, Saarani Mohamad MB baharu

SUSULAN bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang hilang sokongan majoriti melalui usul undi percaya semasa berlangsungnya Sidang Dewan Negeri pada 4 Disember lalu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah hari ini berkenan menerima hasrat peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam satu kenyataannya hari ini, baginda Sultan Nazrin menzahirkan titah terima kasih terhadap Ahmad Faizal yang telah melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Besar sejak 12 Mei 2018.

Sultan Nazrin turut menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka.

“Selaras dengan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, pada pertimbangan Beta, Ahli Dewan Negreri Kota Tampan itu boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

“Beta menzahirkan tahniah kepada Datuk Saarani Mohamad yang telah diperkenan untuk diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak,” kata baginda dalam kenyataan yang sama, hari ini.

Sultan Nazrin turut mengingatkan Menteri Besar baharu bahawa kuasa dan jawatan yang dipinjamkan hendaklah diterima sebagai tanggungjawab yang diamanahkan.

Sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14, sudah tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan; perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini.

Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan, perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat. – SM

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button