Nasional

Skor IPNas ukur tahap perpaduan, keharmonian

Kementerian Perpaduan Negara mempunyai Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) untuk mengukur tahap perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata, Skor IPNas dibahagikan kepada empat kategori iaitu tahap perpaduan lemah (0.0-0.24), tahap perpaduan rendah (0.25-0.49), tahap perpaduan
sederhana (0.50-0.74) dan tahap perpaduan tinggi (0.75-1.0).

“Skor IPNas 2022 menunjukkan bahawa situasi perpaduan negara berada pada tahap sederhana dan terkawal dengan jumlah skor iaitu 0.629 berbanding dengan skor pada tahun 2015 iaitu hanya 0.567.

“Ukuran nilai indeks ini membolehkan kerajaan mengenal pasti dan merancang usaha-usaha dan program- program intervensi yang berkaitan untuk meningkatkan perpaduan rakyat,” katanya ketika memberi penjelasan tersebut di Dewan Negara semasa menjawab soalan Senator Seruandi Saad.

Saraswathy berkata, kesepaduan Sosial dijadikan sebagai komponen asas kepada pengukuran untuk menggambarkan tahap perpaduan dalam pembangunan indeks ini.

“Melalui kajian IPNas 2022, empat indikator iaitu Tahap Keetnikan, Hubungan Sosial Rentas Etnik Etos Bangsa (Jati Diri) Tadbir Urus dan Pembangunan mempengaruhi tahap kesepaduan sosial.

“Melalui IPNas, didapati bahawa aspek  Tadbir Urus dan Pembangunan paling penting dalam meningkatkan tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia amat mempengaruhi pencapaian tahap perpaduan.

“Oleh itu, inisiatif oleh semua kementerian di agensi kerajaan harus dilipatgandakan bagi menambahbaik Indeks Perpaduan Nasional pada tahun 2025 yang bakal dilaksanakan dengan sasaran sebanyak 0.7 skor,” katanya. – SM

(Visited 6 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button