Nasional

TM fokuslah tingkatkan khidmat internet, bukannya tangkis berita palsu

PERGI jahanam dengan Telekom Malaysia (TM). Itu reaksi seorang rakan yang tidak tahan dengan perkhidmatan internet yang disediakan oleh Unifi, anak syarikat kepada syarikat telekomunikasi nasional itu.

Katanya, dia tinggal di Presint 11, Putrajaya. Rumahnya hanya kira-kira satu kilometer sahaja dengan kediaman rasmi Perdana Menteri.

Tetapi khidmat internet yang disediakan oleh TM ibarat berada dalam hutan belantara. Setiap bulan dia bayar bil hampir RM200. Walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, bil tetap bayar.

Lambat sikit kena potong. Langsung tidak  ada ampun atau tolak ansur.

Katanya, sepatutnya khidmat yang disediakan perlu setaraf dengan jumlah yang dibayar setiap bulan. Mestilah tip top, mestilah setanding dengan apa yang dicanangkan.

Menurut rakan itu, sebagai seorang guru, semasa PKP semuanya bergantung kepada e-pembalajaran.

Tetapi dengan talian Unifi yang macam perlahan seperti siput babi, e-pembalajaran pun terganggu.

Ketika tengah bermesyuarat melalui sidang video, tiba-tiba talian terputus. Perlu restart modem. Apabila restart ambil masa sepagi pula untuk talian kembali okey.

Dalam satu hari katanya, kena 10 ke 20 kali restart modem.

Katanya, dia yang tinggal di Putrajaya dalam kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC) berhadapan dengan perkhidmatan internet yang lembab, apatah lagi mereka yang tinggal di luar bandar.

Menurut beliau, apa yang diuar-uarkan oleh TM dalam iklan yang terpampang pada billboard di seluruh negara hanya indah khabar dari rupa.

Untuk e-pembalajaran katanya, dia akan menghasil video yang dimuat naik ke youtube untuk dikongsi dengan murid-muridnya. Tetapi yang mengecewakan, untuk upload satu video yang durasinya lima minit ambil masa hampir tiga jam.

Hampir tiga jam diperlukan untuk upload video yang durasinya hanya lima minit ke youtube. Khidmat jalur lebar Unifi memang mengecewakan.

Sudah upload separuh tiba-tiba talian putus, kena restart modem, upload semula, makan masa tiga jam lagi.

Perkhimatan yang disediakan oleh Unifi anak syarikat TM ini langsung tak efisen.

Lebih menyakitkan hati, ketika line internetnya macam ciput, TM ada hati pula membangunkan satu portal  stayalert.my kononnya sebagai rujukan sehenti rakyat Malaysia memperoleh berita sahih berkenaan perkembangan semasa COVID-19 di negara ini.

Tolonglah, rakyat Malaysia cukup bijak untuk merujuk kepada agensi berita arus perdana yang jauh lebih berkredibiliti dari stayalert TM itu.

Lagi pula itu peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Dan SKMM sudah pun mempunyai portal sebenarnya.my untuk tangkis berita palsu.

TM  tidak perlu menyibuk bangunkan portal macam ini, sebaliknya, lebih baik tumpukan masa dan tenaga untuk pastikan perkhidmatan jalur lebarnya berada pada tahap terbaik dan pengguna puas hati.

Ini, internet perlahan macam siput babi macam mana orang mahu melayari portal itu? Fokuslah kepada kepuasan pengguna. Berilah khidmat jalur lebar yang  bertaraf negara mahu. Bukannya setaraf negara dunia ketiga.

Kenapa TM, sebuah syarikat penyedia sistem komunikasi sibuk nak sediakan portal seperti ini? TM teringin hendak jadi organisasi media? Sedangkan stayalert.my itu hanya kutip dan kumpul berita-berita dari agensi berita arus perdana lain sahaja.

Sepatutnya, TM fokus untuk memberikan perkhidmatan internet yang hebat, tidak perlu hendak membodek kerajaan kononnya untuk tangkis berita palsu. Itu tugas SKMM dan media arus perdana lain.

Kalau TM sibuk sangat nak jadi agensi berita, serahkan sahaja perkhidmatan telekomunikasi ini kepada syarikat lain. TM jadilah syarikat media.

Patutlah sebelum ini para pengguna sebarkan #jahanamTM.  Dan rupanya TM tidak pernah belajar dari kesilapan. Khidmatnya tetap lembap macam dulu. – SM

 

(Visited 804 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button