
TLDM Anjur Wacana Kepimpinan Bersama Orang Kenamaan, Kukuh Etika dan Tadbir Urus
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Royal Malaysian Navy Sea Power Centre telah menganjurkan Program Wacana Kepimpinan Bersama Orang Kenamaan buat julung kalinya di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Program yang berkonsepkan Diner’s Club ini menghimpunkan seramai 80 pegawai kanan TLDM, dan diserikan dengan kehadiran Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain selaku tetamu kehormat.
Wacana istimewa ini menampilkan Komander (Kehormat) Prof. Dato’ Sri Dr. Hj Irmohizam bin Ibrahim PSSTLDM, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, sebagai penceramah jemputan. Dalam syarahan bertajuk “Ethical Leadership and Governance in the Royal Malaysian Navy: A Pillar of National Security”, beliau menekankan peri pentingnya nilai-nilai teras TLDM – Kemuliaan (Honour), Kesetiaan (Loyalty), Keberanian (Courage), dan Kebanggaan (Pride) – sebagai asas pembentukan kepimpinan yang berintegriti dalam pasukan.
Menurut beliau, kepimpinan TLDM perlu disokong oleh strategi Visibility, Advocacy and Perception Management bagi memperkukuh kepercayaan masyarakat, menjelaskan misi pasukan serta memaparkan profesionalisme Navy People. Penekanan terhadap etika dan tadbir urus telus ini turut disifatkan penting dalam menyokong pelaksanaan agenda Ekonomi Biru negara secara mampan dan strategik.
Program ini telah membuka ruang perbincangan yang signifikan serta memberikan perspektif baharu kepada pegawai kanan TLDM, khususnya dalam memahami peranan kritikal kepimpinan beretika dalam memperkukuh pertahanan maritim negara.
Penganjuran program seperti ini dilihat sebagai usaha berterusan TLDM dalam memperkasa modal insan, menyemai budaya integriti, dan mempersiap siaga pasukan dalam menghadapi cabaran semasa serta masa hadapan.