Nasional

Titah Agong: Jemaah Menteri bincang

ANGGOTA Kabinet akan berbincang dengan lebih teliti titah Yang di Pertuan Agong berkaitan tindak perlunya pengisytiharan darurat ketika ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, Jemaah Menteri akan memberi memberi tumpuan sepenuhnya bagi mengekang jangkitan Covid-19 daripada terus mengancam nyawa dan kesihatan rakyat.

Muhyiddin turut berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap kerajaan yang dipimpin beliau.

“Jemaah Menteri mengambil maklum kenyataan Istana Negara mengenai pendapat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.

“Saya menjunjung kasih di atas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada Kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan Kerajaan tidak diganggu-gugat,” kata Muhyiddin.

Semalam Majlis Raja-Raja mengadakan Mesyuarat Khas membincangkan cadangan daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Raja-Raja Melayu yang bersidang membuat keputusan untuk tidak memberi perkenan bagi pengisytiharan darurat bagi menangani Covid-19.

Dalam satu kenyataan Al-Sultan Abdullah bertitah, tiada keperluan untuk melaksanakannya di negara ini atau mana-mana bahagian negara ini ketika ini.

Ini berikutan Majlis Raja-Raja berpendapat kerajaan pimpinan Muhyiddin telah berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 itu dari terus merebak.

Majlis Raja-Raja turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.-SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button