Politik

Titah Agong jadi mimpi negeri PN – Aziz

KEBENARAN Parlimen bersidang ketika dalam Perintah Darurat seperti dititah Agong semalam didakwa memberi tamparan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sidang Parlimen nanti jika dibenarkan akan menjadi medan penentuan kepada kedudukan Kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, kebenaran itu dikatakan disambut baik oleh ramai pihak berikuta terdapat kecelaruan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, sidang Parlimen juga dilihat penting untuk menghadapi tiga krisis utama yang melanda negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi dan kerajaan minoriti.

“Saya percaya melalui sidang Parlimen ini, segala tindakan dan keputusan kerajaan dalam menghadapi krisis ini dapat disemak oleh ahli dewan Parlimen supaya tidak berlakunya unsur kepentingan politik atau peribadi dalam setiap tindakan kerajaan tersebut.

“Perkara ini jelas dilihat apabila sepanjang tempoh darurat dan PKP yang diwartakan oleh kerajaan awal tahun lalu jelas menampakkan kelemahan dan kepincangan dalam menentukan SOP.

“Sehinggalah kepada perubahan pendirian mengenai pembukaan sekolah yang akhirnya amat menyusahkan rakyat.

“Rakyat sendiri mempersoalkan logik kerajaan apabila sedikit demi sedikit kelonggaran diberikan terhadap SOP tetapi masih mewartakan majoriti negeri dalam keadaan PKP.”

Demikian kata bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abd. Aziz Kaprawi, dalam satu kenyataan hari ini mengulas titah Al Sultan Abdullah semalam.

Sebelum ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin memberitahu, Agong menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara.

Menurutnya, baginda menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada satu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Al Sultan Abdullah bertitah, perkara itu termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Namun, titah Agong itu disifatkan sebagai satu mimpi ngeri bagi Muhyiddin dan Kerajaan PN kerana nasib mereka pasti ditentukan dalam sidang Parlimen nanti.

“Titah Agong mimpi ngeri buat Muhyiddin.

“Saya yakin titah Agong ini dapat memberi kelegaan dan harapan kepada rakyat supaya amalan demokrasi berparlimen negara ini dapat disambung semula.

“Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin tidak lagi boleh membuat sesuatu tindakan sewenang-wenangnya,” tegasnya.

Bagaimanapun terdahulu, Kerajaan PN serta Muhyiddin disebut-sebut akan tumbang jika Parlimen bersidang.

Ini kerana, beliau didakwa sudah hilang sokongan apabila beberapa Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) sebelum ini menarik diri daripada menyokong PN.

Ahli Parlimen berkenaan termasuklah dari Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sementara Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah, pula lebih awal menolak Kerajaan PN. – SM

 

 

(Visited 806 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button