NasionalParlimen

Titah Adendum tidak dibenarkan dibangkitkan di Parlimen

KUALA LUMPUR – Polemik isu Titah Adendum melibatkan tahanan di rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh dibangkitkan ketika perbahasan di Dewan Rakyat bermula Selasa.

Keputusan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas beberapa ahli Parlimen mencetuskan kekecohan selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membangkitkan kewujudan titah tersebut.

Johari turut melarang penggunaan perkataan derhaka untuk isu berkaitan Titah Adendum mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).

“Oleh kerana (isu Titah Adendum) melibatkan Peraturan 36(2) dan (kes) dalam mahkamah, perkataan derhaka (melibatkan) Peraturan 36(7), saya tidak benarkan lagi.

“Sesiapa yang membangkitkan (isu Titah Adendum) saya akan ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada tindakan Hamzah yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan kerajaan menyembunyikan Titah Adendum ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dalam perbahasannya, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa tindakan kerajaan menyembunyikan perintah tambahan itu sebagai satu perbuatan penderhakaan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Hamzah turut mengingatkan pemimpin kerajaan untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda dan bukan melibatkan pembangkang dan rakyat sahaja.

“Kalau kita kata perlu dijunjung, pembangkang kena patuh 3R (agama, bangsa dan raja) kerana ini perintah, kami junjung. Rakyat kena jaga semua ini, rakyat juga junjung.

“Tetapi kalau keingkaran yang dibuat oleh kerajaan, di mana letaknya? Menyembunyikan atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong adalah suatu penderhakaan kepada negara,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button