Nasional

Jejak Prihatin santuni golongan miskin bandar

Hampir 4,000 orang sukarelawan ‘Prihatin Volunteer’ (PriVo), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), AJK surau, masjid dan NGO akan digerakkan untuk menjejaki golongan miskin tegar, miskin bandar dan yang memerlukan bantuan makanan, kebajikan, kesihatan, termasuk kesihatan mental dan kerohanian dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa berkata, program yang dinamakan sebagai Jejak Prihatin ini dilaksanakan secara berterusan pelaksanaannya bermula dengan fasa pertama pada 14 hingga 28 Julai 2021.

Kata beliau, Jejak Prihatin merupakan langkah proaktif yang bertujuan untuk menggerakkan usaha mencari golongan yang terkesan akibat pandemik Covid19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta menghulurkan bantuan dengan segera tanpa perlu menunggu sehingga keadaan mereka semakin kritikal.

“Seramai 15,000 termasuk 3,853 keluarga miskin tegar sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah disenaraikan untuk dijejaki oleh pasukan Jejak Prihatin bermula hari ini. Pada fasa pertama, 7,000 keluarga akan dijejaki terlebih dahulu.

“Selain menjejaki dan bertanya khabar, sukarelawan yang terlibat dalam program Jejak Prihatin ini juga akan membantu mengedarkan 7,000 pek bekalan makanan kering yang disumbangkan oleh pelbagai pihak, termasuk badan korporat melalui Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada pihak yang memerlukan,” katanya.

Tambah beliau, sukarelawan Jejak Prihatin ini juga akan membantu menyampaikan maklumat dan membuat semakan mengenai inisiatif Prihatin Kasih, iaitu bantuan kepada golongan rentan bandar sebanyak RM100 sebulan yang diberikan oleh kerajaan terus kepada mereka melalui MyKad bermula Julai hingga September 2021.

“Program Jejak Prihatin ini akan diselaraskan oleh YWP selaku pelaksana induk. Sumbangan dan bantuan daripada orang ramai, termasuk daripada organisasi korporat amat diperlukan bagi memastikan seramai mungkin warga Wilayah Persekutuan dapat dibantu secara berterusan. Bagi sumbangan berbentuk tunai kepada YWP, resit pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 akan diberikan.

“Semoga melalui inisiatif Jejak Prihatin ini, tiada pihak yang ketinggalan dan setiap golongan miskin, miskin bandar dan yang memerlukan bantuan dalam WP dapat dibantu dengan segera sebelum keadaan mereka menjadi terlalu terdesak,” ujar beliau.

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button