Nasional

Tipu bayaran, dua sahabat didenda RM15,000 seorang

MELAKA 9 Februari – Seorang Penolong Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Kesihatan di Pejabat Kesihatan  Daerah (PKD) Jasin, masing-masing didenda RM15,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah bersubahat dan menipu membabitkan pembekalan peralatan, empat tahun lalu.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Muhammad Nurhafizi Samat, 34 dan Mohd. Zamry Yazid, 47, mengikut Seksyen
417 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Kedua-dua sahabat itu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan yang dibacakan secara berasingan oleh
jurubahasa mahkamah.

Muhammad Nurhafizi didakwa menipu seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Jasin sehingga mendorong
individu terbabit untuk memperakukan pembayaran keseluruhan sebanyak RM9,536 kepada sebuah syarikat
Perniagaan Pella Maju Enterprise untuk pembekalan peralatan bagi unit kawalan mutu air (KMAM).

Manakala, Mohd. Zamry dituduh bersubahat dengan Muhammad Nurhafizi menipu individu yang sama memperakukan bayaran kepada syarikat yang sama apabila dengan sengaja mendorongnya memperakukan pembayaran dengan nilai sama.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin pada 5 November dan 9 November 2018.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan
Shah Abdul Samat manakala tertuduh Muhammad Nurhafizi diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork dan tertuduh
keduas, Mohd. Zamry diwakili Mohd. Zulfiqri Zakaria.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon kepada mahkamah supaya hukuman setimpal dikenakan dengan alasan kedua-dua mereka adalah penjawat awam selain dana terbabit adalah dana awam.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM15, 000 setiap seorang atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda dikenakan. -SM

(Visited 291 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button