Ekonomi

Tinjauan Xero: PKS di Malaysia perlu sokongan untuk mempercepat penerapan e-invois

Seiring pelaksanaan mandatori e-invois secara berperingkat di seluruh negara, kertas putih terbaharu yang diterbitkan oleh platform perniagaan kecil global, Xero mendedahkan bahawa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia masih memerlukan sokongan dan panduan untuk memahami dan membina keupayaan  menjelang tarikh akhir pelaksanaan.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mewajibkan semua perniagaan beralih sepenuhnya kepada sistem e-invois mengikut tarikh spesifik – 1 Julai 2025 bagi perniagaan dengan hasil tahunan melebihi RM500,000 namun kurang daripada RM25 juta; dan 1 Januari 2026 bagi perniagaan dengan hasil tahunan antara RM150,000 dan RM500,000.

Kertas putih ini menunjukkan hanya 30% responden benar-benar memahami apa yang diperlukan dalam pelaksanaan e-invois; dan hanya 31% telah mengintegrasikannya sepenuhnya dalam operasi perniagaan. Yang ketara, sebanyak 19% responden masih belum memulakan pelaksanaan.

Antara cabaran utama yang memperlahankan proses ini ialah kekurangan pemahaman jelas tentang keperluan e-invois, seperti yang dikenal pasti oleh 55% responden. Ini diikuti oleh cabaran teknikal dan operasi, seperti jumlah data yang besar untuk didigitalkan (49%), kebimbangan terhadap keselamatan dan privasi data (47%), serta kekurangan kepakaran teknikal dalaman (45%).

Walau bagaimanapun, PKS menyedari manfaat yang bakal diperoleh daripada peralihan ini.

Sebanyak 69% responden percaya e-invois akan memberikan manfaat ketara kepada perniagaan mereka, termasuk penambahbaikan rekod simpanan (72%), peningkatan kecekapan (67%) dan pematuhan yang lebih baik (55%).

“Ramai pemilik perniagaan sedar perubahan sedang berlaku, namun mereka berasa terbeban dengan kerumitan proses ini, tidak pasti di mana untuk bermula, dan bimbang sama ada mereka mampu melaksanakannya dengan betul,” kata Pengarah Urusan Xero Asia, Koren Wines.

“Namun begitu, berita baiknya ialah mereka mengiktiraf manfaat yang dibawa e-invois kepada perniagaan mereka, serta bersifat terbuka dan optimistik untuk bertindak sekiranya proses ini dijadikan lebih mudah.”

Bagi mempercepat dan mempermudah pelaksanaan, PKS mengenal pasti keperluan terhadap panduan atau senarai semak yang sistematik (70%), sokongan untuk integrasi dengan sistem dan perisian sedia ada (59%), serta cadangan tentang penyelesaian e-invois (53%) sebagai sumber paling diperlukan semasa peralihan ini.

Tinjauan ini turut mendedahkan bahawa keupayaan pelaksanaan e-invois berbeza mengikut saiz, sumber dan matlamat PKS. Sebanyak 65% PKS berskala lebih besar 1 menyatakan keyakinan terhadap  keupayaan mereka melaksanakan e-invois, berbanding 57% PKS berskala lebih kecil .

Dalam PKS berskala lebih besar, e-invois lazimnya dilaksanakan oleh pasukan khas yang terdiri daripada lebih tiga kakitangan, atau menerusi ‘model hibrid’ yang menggabungkan pasukan dalaman dan kepakaran luaran. Sementara itu, pelaksanaannya dalam PKS berskala lebih kecil sering dikendalikan oleh pemilik perniagaan sendiri, atau pasukan kecil sehingga dua kakitangan.

Walaupun kedua-dua kumpulan menyuarakan kekurangan pemahaman tentang mandat ini sebagai kebimbangan utama, PKS berskala lebih kecil menganggap kekangan masa untuk meneroka pelaksanaan sebagai cabaran kedua paling mendesak, manakala PKS berskala lebih besar lebih bimbang tentang saiz data yang perlu didigitalkan.

Kedua-dua kumpulan mengiktiraf manfaat e-invois. PKS berskala lebih kecil menekankan impak  segera terhadap operasi seperti pematuhan yang lebih baik, pengurangan kesilapan dalam penyimpanan rekod, dan pembayaran yang lebih cepat.

Manakala, PKS berskala lebih besar pula memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan merentas perniagaan mereka.

“Mandat e-invois ialah satu peluang bagi PKS di Malaysia mempercepat perjalanan transformasi digital mereka. Dengan bimbingan dan sokongan akauntan, juru kira dan perunding perniagaan, PKS bukan sahaja dapat memahami keperluan serta teknologi berkaitan pematuhan, tetapi juga alatan yang boleh membantu mereka beroperasi dengan lebih cekap dan produktif,” tambah Wines.

“Khususnya bagi perniagaan kecil yang beroperasi dengan sumber terhad, mereka pastinya akan mencari penyelesaian yang ringkas, mudah digunakan dan menjimatkan kos.”

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button