Nasional

Pemandu mabuk: Kelulusan Kabinet terhadap pindaan Akta 333 bulan ini

MENTERI Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong akan mendapatkan kelulusan Kabinet berkaitan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bulan ini.

Ka Siong berkata, beliau telah mengarahkan pegawai-pegawai kementerian untuk menyediakan Memorandum Jemaah Menteri untuk dibentangkan kepada Kabinet bagi mendapatkan kelulusan tersebut.

Menurut Ka Siong, cadangan pindaan terhadap Akta 333 itu juga mengambilkira pandangan semua pemegang taruh termasuk orang ramai.

“Hari ini saya mempengerusikan mesyuarat khas pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) khususnya Seksyen 41 hingga 45 mengenai hukuman terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah atau memandu secara melulu dan merbahaya.

“Apa yang pasti, semua hukuman bagi kesalahan tersebut akan ditambahbaik dan ditingkatkan bagi memberi pengajaran serta menghindarkan gejala pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, demi kepentingan rakyat khususnya pengguna jalan raya,” kata Ka Siong.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebelum ini mahu pindaan terhadap Akta 333  memberi hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, pindaan hukuman tersebut juga diharap akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat kecuaian pemandu mabuk.

BACA Pindaan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk dimuktamad Jun

Muhyiddin berkata, sebagai bapa dan ketua kerajaan, beliau memahami memahami keresahan rakyat dan keluarga mangsa pemandu mabuk yang mahu kerajaan bertindak tegas menangani isu tersebut.

Mengikut undang-undang sedia ada individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

“Pindaan ke atas Akta 333 diharap dapat menetapkan hukuman mandatori lebih berat dan setimpal terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Saya juga berharap pindaan hukuman ini kelak akan memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang terjejas akibat pemandu mabuk,” kata Muhyiddin.

Kes kemalangan maut yang meragut nyawa yang tidak bersalah melibatkan pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat.

Rakyat menuntut agar hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap sikap individu yang tidak bertanggungjawab memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan nyawa yang tidak bersalah melayang dan mengakibatkan keluarga mangsa menderita kerana hilang tempat bergantung hidup. – SM

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button