Haiwan

Daerah Penampang Sabah dilanda demam babi Afrika

KOTA KINABALU: Penampang menjadi daerah ke-20 diisytiharkan sebagai daerah wabak demam babi Afrika (ASF) di Sabah.

Timbalan ketua menteri Jeffrey Kitingan berkata virus itu mula dikesan pada 14 Disember dan telah merebak ke lima kampung di kawasan Inobong, Sugud dan Koidupan di daerah itu.

“Kes itu melibatkan sebanyak 229 ekor khinzir belakang rumah milik enam pemilik berbeza. Kerugian dianggarkan mencecah RM115,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kitingan, yang juga menteri pertanian dan perikanan negeri berkata, Penampang yang merupakan daerah kecil, mempunyai dua ladang babi komersial dengan anggaran 2,900 ekor.

Bagi mengelak penyakit itu merebak ke daerah berhampiran, beliau berkata kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan mengadakan kempen kesedaran di Penampang bagi memastikan rakyat mendapat maklumat mengenai ASF.

Jabatan itu juga akan memantau dan mengawal pergerakan babi dan produk khinzir bagi memastikan tiada yang keluar dari daerah itu buat masa ini.

Sejak wabak ASF pertama kali diisytiharkan tahun lepas, 10 daerah telah diisytiharkan bebas ASF selepas 60 hari berlalu sejak kes terakhir dilaporkan. Daerah tersebut ialah Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

“Kerajaan sedar tentang keresahan rakyat, terutamanya dengan Tahun Baru Cina semakin hampir. Bagaimanapun, kami tetap optimis bahawa bekalan daging babi di Sabah akan mencukupi untuk memenuhi permintaan,” kata Kitingan.

 

(Visited 337 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button