Politik

Cadangan Ku Li hanya pandangan peribadi beliau

CADANGAN Tengku Razaleigh Hamzah supaya semua pemimpin UMNO meninggalkan Kabinet Pakatan Nasional (PN) hanya pandangan peribadi beliau.

MAHDZIR KHALID

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan UMNO menyertai Muafakat Nasional (MN) dan keputusan Ahli Parlimen UMNO menyokong pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditentukan berdasarkan kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Apa jua pandangan yang dikeluarkan selepas keputusan MKT UMNO dibuat, adalah pandangan peribadi semata-mata.

“Justeru, saya melihat kenyataan yang dibuat oleh Tengku Razaleigh adalah pandangan peribadi beliau. Namun, kita tetap menghormati pandangan yang telah dilontarkan oleh YBM Tengku Razaleigh.

“Sebarang ketetapan yang diambil oleh UMNO dalam apa jua keputusan, haruslah melalui Biro Politik UMNO dan MKT UMNO terlebih dahulu.

“Barulah ia boleh diguna pakai untuk menggambarkan hasrat dan kerja buat parti,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan.

Tengku Razaleigh dalam kenyataan semalam menggesa pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet  PN menarik diri daripada kerajaan,

Beliau yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, ini kerana tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam “pakatan Melayu-Islam yang didukung MN.

“UMNO tidak pernah menjadi anggota kerajaan PN, (sebaliknya) hanya memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

“Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli Umno yang menganggotai kabinet berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang,” kata Tengku Razaleigh.

Malah katanya, langkah keluar dari kabinet itu perlu dilakukan secepat mungkin.

“Ini patut dilakukan secepat mungkin supaya kita tidak membuang masa seperti untuk memberi tumpuan kepada masalah-masalah yang lebih besar seperti kedudukan muda- mudi yang susah mencari pekerjaan dalam keadaan kita menghadapi pandemik Covid-19 yang mengancam negara pada masa ini.

“Lagipun perkara sebesar ini sepatutnya dibawa ke perhimpunan agung parti tidak lama lagi,” katanya. – SM

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button