NasionalPolitik

Tindakan Mohd Izhar tak jejaskan BERSATU, hanya makan diri sendiri

ADA parti politik tertentu menyediakan naratif berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad, yang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kononnya dengan harapan untuk menjejaskan kewibawaan serta imej parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun tindakan beliau tidak memberi kesan kepada BERSATU melainkan ia sekadar memenuhi kehendak pihak yang mempengaruhinya berbuat demikian untuk melemahkan parti tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor itu juga cuba merasionalkan tindakan keluar BERSATU berkuatkuasa serta-merta semalam, dengan memberi pelbagai alasan termasuk parti sudah hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya.

BERSATU Negeri Johor juga menyifatkan alasan Mohd Izhar keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga tidak berasas, sebaliknya kerana beliau menganggap Perikatan Nasional akan tewas dalam PRN Johor sekali gus kehilangan jawatan EXCO dan lantikan ahli Lembaga pengarah syarikat kerajaan negeri.

Justeru, Mohd Izhar beranggapan dengan keluar BERSATU, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi EXCO adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin mahupun bertanding di mana-mana DUN lain pada PRN Johor kali ini.

Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd Izhar kini mencetuskan pelbagai persepsi negatif sekali gus bakal memakan diri beliau sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, tindakan dan maksud semua alasan yang didakwa ADUN Larkin itu tidak dapat difahami apatah lagi beliau merupakan seorang Ahli EXCO Kerajaan Negeri yang boleh menegur dan memperbaiki keadaan jika benar BERSATU didakwa hilang hala tuju serta gagal meneruskan agendanya.

Malah mengelirukan apabila Mohd Izhar mendakwa prestasinya sebagai wakil rakyat dan Exco yang berkhidmat dalam Kerajaan Negeri, berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sedangkan beliau adalah wakil BERSATU iaitu parti yang didakwa hilang arah dan gagal.

Beliau juga silap besar apabila mendakwa Muhyiddin gagal selepas berpisah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar BERSATU dan menubuhkan parti Pejuang.

Ini kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah dilantik menjadi Perdana Menteri ke-8 dan melaksanakan pelbagai tindakan untuk kesejahteraan rakyat termasuk melaksanakan inisiatif membendung pandemik COVID-19 dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara selain menyalurkan pelbagai bantuan rakyat dan komuniti perniagaan yang rentan, serta menghapuskan hutang peneroka Felda dan menyusun semula Tabung Gaji.

Oleh itu, bagaimana Mohd Izhar melihat dan menilaikan Muhyiddin sebagai gagal selepas Tun Dr Mahathir keluar BERSATU?

MOHD SOLIHAN BADRI
Ketua Penerangan
Perikatan Nasional Johor.
30 Januari 2022

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button