Nasional

Tindakan Latheefa, SPRM menyalahi prinsip kedaulatan undang-undang, kata peguam

TINDAKAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, mengadakah sidang media dan mendedahkan sembilan klip rakaman audio semalam menyalahi prinsip kedaulatan undang-undang.

Peguam Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata,  tindakan yang dilakukan Latheefa dan SPRM itu sama sekali tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, atas prinsip kedaulatan undang-undang,  Latheefa sepatutnya mengarahkan pegawai SPRM membuat laporan polis dengan segera dan menyerahkan kesemua bahan yang mengandungi rakaman audio panggilan telefon untuk siasatan lanjut oleh pihak polis.

Kata beliau, jika pun ada kandungan perbualan mendedahkan kemungkinan kewujudan bentuk jenayah lain ianya adalah di bawah kategori kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya Akta SPRM.

“Sememangnya bahan bukti yang masih perlu disiasat lanjut oleh pihak polis tidak boleh didedahkan untuk santapan awam sama sekali, apatah lagi diperdengarkan kepada orang awam kandungan perbualan berkaitan.

“Kerana ianya boleh menjejaskan siasatan dan juga memberikan gambaran dan impak negatif kepada fahaman masyarakat biasa, sedangkan siasatan belum pun bermula apatah lagi, sememangnya belum lagi selesai,’ tegas Menurut Mohamed Haniff Khatri.

Justeru peguam terkenal itu melontarkan tiga persoalan antaranya, adakah tindakan Latheefa dan SPRM mendahului mahkamah yang sedang dan akan bicarakan pelbagai pertuduhan jenayah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pihak lain.

Mohamed Haniff Khatri juga mempersoalkan adakah pendedahan Latheefa dan SPRM menjadi satu tindakan yang boleh dianggap sebagai “penghinaan” terhadap mahkamah.

Tegas beliau, adakah dari segi undang-undang, kandungan sembilan rakaman audio panggilan telefon yang didedahkan itu memihak kepada pihak pendakwa raya ataupun memihak kepada pihak Najib ataupun pihak-pihak lain terbabit.

Mohamed Haniff Khatri berkata, beliau tidak boleh memberi jawapan terhadap persoalan terbabit kerana mungkin akan mencemari atau memberi kesan negatif kepada perjalanan sistem keadilan di dalam pelbagai siri pertuduhan terhadap Najib, mahupun pihak-pihak lain yang masih berterusan ataupun yang akan dimulakan.

“Dalam erti kata lain, secara penuh hormat kepada Latheefa dan pegawai-pegawai SPRM lain, dan dengan penuh kekesalan dan kesedihan, saya nyatakan bahawa tindakan pendedahan kandungan 9 “rakaman audio panggilan telefon” kepada orang awam pada 08.01.2020 adalah kemungkiran prinsip kedaulatan undang-undang, yang sewajibnya tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM sama sekali !

“Jenayah atau kesalahan tidak boleh diadili atau dihukum dengan membelakangkan prinsip kedaulatan undang-undang,” tegas Mohamed Haniff Khatri.-SM

 

 

 

 

 

 

 

(Visited 217 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button