Nasionalpilihan

Anak perempuan, menantu direman kes bunuh ibu tua

POLIS mendapat perintah reman untuk menahan anak perempuan dan menantu kepada seorang wanita Cina Muslim berusia 74 tahun yang dipercayai meninggal dunia akibat dibunuh di sebuah taman perumahan di Tambun Tulang, Arau, Perlis pada pagi semalam.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali yang berkuatkuasa mulai hari ini sehingga 8 Jun ini.

Kedua-kedua suspek yang masing-masing berusia 34 tahun ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) atas tuduhan membunuh.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pada kira-kira pukul 5.30 pagi semalam (1 Jun), pihaknya telah menerima panggilan daripada Pegawai Perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar berhubung kes kematian seorang pesakit kerana disyaki dipukul.

“Hasil siasatan awal mendapati pada pukul 4.10 pagi semalam, petugas berkenaan telah menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dihantar oleh anak perempuannya (suspek pertama),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, doktor telah memberi rawatan awal Resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun tiada tanda-tanda masih hidup dan seterusnya mengesahkan kematian mangsa pada pukul 4.30 pagi semalam (1 Jun).

“Pemeriksaaan pada luaran bahagian badan mangsa terdapat kesan lebam pada kedua-dua mata, dahi, telinga kanan dan sedikit kesan luka pada jari kaki kiri,” tambahnya.

Tambahnya, hasil bedah siasat pada pukul 3 petang semalam (1 Jun) Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar mengesahkan terdapat kecederaan pada tubuh mangsa iaitu lebam di bahagian kedua-dua belah mata, dahi, ubun kepala dan lidah sisi kiri akibat tekanan.

Selain itu, katanya mangsa juga patah tulang rusuk kiri akibat tekanan.

“Walaubagaimanapun punca kematian masih belum disahkan dan diklasifikasikan sebagai ‘’Pending Laboratory Analysis’’ sementara menunggu keputusan makmal,” katanya.

Malah kata Ahmad Mohsin, hasil temubual awal dengan anak perempuan mangsa (suspek pertama) telah mengaku ada memukul emaknya dengan menggunakan tangan pada bahagian muka dan kepala pada lebih kurang pukul 9 pagi pada 31 Mei lalu.

Katanya, temubual turut dilakukan terhadap menantu mangsa berusia 34 tahun (suspek kedua) yang merupakan suami kepada suspek pertama yang disyaki turut terlibat dalam kejadian tersebut berdasarkan keterangan yang meragukan.

“Punca pertengkaran sebelum mangsa meninggal dunia disebabkan suspek pertama tidak tahan dan terlampau tertekan dengan karenah dan ragam mangsa walaupun sedang sakit strok di bahagian badan sebelah kiri,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, kedua suspek tidak mengaku membunuh mangsa dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan dengan dibantu oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan telah membuat beberapa rampasan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat. – SM

(Visited 619 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button