Nasional

Tingkat kesedaran, cegah kanser – titah Raja Muda Perlis

Bersempena ‘Sambutan Hari Kanser Sedunia’ yang disambut pada setiap 4 Februari, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar kesedaran orang ramai mengenai beban penyakit kanser dapat ditingkatkan serta dibendung.

Baginda juga berharap agar tema tahun ini iaitu, ‘Saya Akan Dan Saya Boleh’(I Am and I Will) merupakan kata semangat untuk menggalakkan komitmen peribadi yang merupakan kuasa dalam menentukan tindakan seseorang individu. Tindakan seseorang pada masa kini akan memberi impak pada masa hadapan.

Menurut baginda lagi, berdasarkan data yang dipersembahkan hasil daripada Laporan Pendaftaran Kanser Perlis (Perlis Cancer Registry Report, 2012-2016), kes-kes berkaitan kanser semakin meningkat dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Dimaklumkan antara kanser utama yang melibatkan golongan lelaki di Perlis adalah kanser usus besar, kanser paru-paru dan juga trakea, diikuti oleh kanser limfoma (kelenjar limfa) dan kanser prostat.

Bagi golongan wanita pula, kanser payudara merupakan kanser yang tertinggi diikuti oleh kanser usus besar, kanser serviks seterusnya kanser di bahagian uterus dan ovari. Sebagaimana lelaki, wanita juga turut menghidap penyakit kanser paru-paru serta limfoma.

Jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, ketepatan data merupakan sumber yang amat penting bagi memahami jenis-jenis serta kelaziman kanser tersebut supaya pihak pakar dapat merancang bentuk perkhidmatan perubatan yang akan diberikan pada masa yang akan datang serta strategi bagi membendung masalah ini daripada menjadi teruk.

‘Justeru, kita juga perlu melihat apakah impak daripada peningkatan kes kanser dalam masyarakat. Ia pasti akan memberikan kesan mendalam terhadap keluarga di mana akan berlakunya kehilangan mata pencarian apabila ketua keluarga diserang kanser, terpaksa menjaga pesakit yang memerlukan penjagaan sepenuh masa, hilang peluang pekerjaan dan pendidikan, tekanan perasaan, gangguan emosi serta akan memberi kesan terhadap seluruh generasi’ terang Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Baginda juga berkongsi info bahawa kajian mendapati bahawa tabiat merokok terbukti menjadi punca utama kepada semua jenis kanser terutamanya kanser paru-paru dan saluran trakea. Tabiat merokok adalah sama sekali dilarang bagi penganut agama Islam dan patut dihentikan. Hal ini juga dapat membantu mengurangkan peningkatan kanser dalam kalangan lelaki.

Bagi golongan wanita pula, mereka digalakkan untuk melakukan pemeriksaan payudara secara sendiri atau ‘self breast examination’ serta melakukan temujanji dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan awal ‘pap smear’ bagi mengesan kanser serviks dan ini merupakan perkara yang amat penting.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi ‘Amalan diet yang seimbang turut membantu dalam mengurangkan kejadian kanser usus besar. Golongan yang mempunyai sejarah kanser dalam keluarga disyorkan supaya lebih berwaspada terhadap gejala kanser usus besar ini seperti perubahan dalam tabiat pembuangan air besar seperti sembelit atau cirit-birit yang luar daripada kebiasaan’.

‘Hari Kanser Sedunia’ merupakan hari antarabangsa bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai barah atau kanser dan sekaligus menggalakkan pencegahan, pengesanan dan rawatan.

Objektif utama Hari Kanser Sedunia ini adalah untuk mengurangkan penyakit dan kematian yang diakibatkan oleh kanser. Dalam masa yang sama, ini adalah peluang untuk menghimpunkan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan ketidakadilan penderitaan yang boleh dicegah disebabkan oleh barah.

(Visited 329 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button