Luar Negara

Berpantang maut sebelum ajal: Tiger Woods selamat!

PASUKAN perubatan berjaya menyempurnakan pembedahan yang memakan masa panjang ke atas Tiger Woods, selepas bintang golf dunia itu ditimpa kecederaan serius pada kakinya dalam satu kemalangan kereta.

Sebatang besi dan beberapa skru serta pin terpaksa dimasukkan pada bahagian kakinya yang cedera setelah bintang golf Amerika Syarikat itu mengalami patah tulang dan pergelangan kakinya hancur.

Semalam, Woods yang sedang memandu kereta pacuan empat roda ke lokasi penggambaran televisyen di Rancho Palos Verdes, Los Angeles pada pukul 7 pagi waktu tempatan (kira-kira 11 malam waktu Malaysia) secara tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh tebing lebuh raya. Tiada sesiapa terlibat dalam kemalangan itu melainkan Woods, 45, yang memandu bersendirian.

Ketua Pegawai Perubatan Pusat Perubatan Harbor-UCLA, Dr. Anish Mahajan mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan oleh akaun Twitter milik Woods, pada pagi ini.

“Woods mengalami kecederaan ortopedik yang serius pada bahagian bawah kanan tubuhnya yang kini telahpun dirawat semasa pembedahan kecemasan oleh pakar trauma Ortopedik di Pusat Perubatan Harbour-UCLA.

“Keretakkan yang berlaku telah menjejaskan bahagian atas serta bawah tulang tibia dan fibula. Bagi menstabilkan bahagian tulang tersebut doktor terpaksa memasukkan besi ke dalam tulang tibia.

“Kecederaan tambahan pada tulang dan pergelangan kaki telah distabilkan dengan memasukkan gabungan skru dan pin,” kata kenyataan itu.

Pasukan bomba terpaksa memotong kenderaan jenis Genesis GV80 milik Woods, bagi mengeluarkan pemain golf itu selepas kereta tersebut terbalik.

Timbalan Sheriff Daerah Los Angeles, Carlos Gonzalez yang menjadi orang pertama berada di lokasi kejadian berkata, Woods yang masih memakai tali pinggang keledarnya berada dalam keadaan tenang ketika kemalangan itu berlaku.

Teman wanita bintang golf itu, Erica Herman difahamkan kini berada di hospital di mana Woods menjalani pembedahan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Woods kini berada dalam keadaan sedar dan sedang menjalani proses pemulihan selepas prosedur pada kakinya dilaksanakan. Bagaimanapun, masih tidak diketahui kelajuan kereta ketika Woods memandu, tetapi polis berkata, kadar kelajuan tersebut lebih daripada tahap biasa. Mereka juga mengesahkan tiada bukti Woods di bawah pengaruh bahan terlarang.

Gambar daripada kemalangan mendedahkan kereta Woods telah terbabas sebelum merempuh penghadang jalan dan kemudian sebatang pokok, sebelum terbalik sehingga menyebabkan berlaku pelepasan beg udara.

Kenderaan Genesis pacuan empat roda yang dipandu Woods itu telah dipinjamkan kepadanya oleh penaja.
Woods tidak menyertai sebarang pertandingan pada ketika ini kerana dia masih lagi menjalani pemulihan daripada pembedahan belakang.

Pada Januari, dia menjalani pembedahan buat kali kelima bagi mengurangkan tekanan pada tulang belakangnya.
Kecederaan dan masalah peribadi telah mendominasi sepanjang karier legenda golf itu dan kejayaannya menjuarai Masters 2019 membolehkan Woods mencipta kebangkitan semula dalam sukan golf.

Sheriff Daerah Los Angeles, Alex Villanueva berkata, Woods amat bernasib baik masih hidup jika melihat kepada kemalangan yang menimpanya.

“Bahagian dalaman kereta agak utuh yang membolehkan Woods dapat bertahan, jika tidak, ia akan menjadi kemalangan maut. Dia bernasib baik kerana masih hidup,” katanya. – The Sun – SM

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button