Hiburan

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 bantu pesakit, bekas pesakit kanser

Grand Ballroom, Hotel Grand Barakah, Ampang pada 1 Jun 2024

PADA 1 Jun nanti, barisan artis gabungan akan mengadakan persembahan amal bagi membantu pesakit dan bekas pesakit kanser di Selangor.

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 bertempat di Grand Ballroom, Hotel Grand Barakah, Ampang, akan dijayakan oleh Zamani Slam, Zarul Umbrella, Acong Sweetchild, Tam Spider, Shafie Rio, Ameng Spring, Dwen, Ady Wow, Mawi dan Wann.

Penganjur showcase, Nizam Laksamana Production yang diterajui penyanyi Nizam Laksamana berkata, penganjuran showcase tersebut merupakan yang terakhir daripada pihak produksinya.

“Ini adalah edisi keempat penganjuran showcase dan walaupun sambutannya sedikit perlahan jika dibandingkan dengan penganjuran showcase tiga terdahulu, edisi keempat ini ada mendapat respons yang bagus,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai penganjur showcase, Nizam dilemparkan dengan tuduhan bahawa beliau mengaut keuntungan. Bagaimanapun, beliau menafikannya dan berkata, pada dasarnya, tiada ‘gaji’ bagi dirinya dengan pasukan produksi.

Jelas beliau, permohonan dana pernah ditolak walaupun sudah melalui proses pitching.

“Pernah juga terucap perkataan ‘batal’ sahaja kerana pandangan serong diberikan oleh sesetengah pihak serta janji-janji manis yang ditabur oleh golongan korporat bagi menaja penganjuran showcase.

“Namun atas motivasi dan sokongan pasukan  serta pihak media membuatkan saya meneruskan juga matlamat yang telah dirangka,” ujar beliau.

Nizam Laksamana

Secara peribadi, iltizam dan semangat Nizam untuk meneruskan penganjuran showcase amal ini disuntik setiap kali mengenangkan tiga orang sahabat beliau yang pernah menyertai showcase terdahulu iaitu Allahyarham Gmie Screen, Tia Jinbara dan Ibnor Riza.

“Showcase ini bukan hiburan semata-mata sebaliknya ia adalah tempat perjumpaan antara peminat dengan penyanyi kegemaran mereka.

“Selepas acara selesai, peminat berpeluang beramah mesra dengan artis yang terlibat dan paling penting, penganjuran showcase ini adalah untuk menyantuni pesakit dan bekas pesakit kanser,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian daripada kutipan berdasarkan jualan meja dan sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada Cancer Survivors Malaysia iaitu satu badan NGO yang aktif memberi bantuan kepada pesakit kanser.

Selain itu, kata Nizam lagi, sebahagian daripada kutipan juga akan disalurkan kepada penggiat seni dan bekas pengamal media yang kini disenaraikan seramai 20 orang.

Persembahan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 dirancang mengikut naratif muzik kerana setiap penyanyi mewakili genre dan zaman kegemilangan masing-masing walau pun menggunakan minus-one atau iringan gitar akustik. – SM

BACA Chef Wan disahkan menghidap kanser limfoma

BACA Wanita masih penghidap utama kanser payudara

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button