Ekonomi

KWSP umum senarai unit amanah yang dikemas kini untuk 2024/2025

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Senarai Kelayakan Dikemas Kini untuk dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP), berkuat kuasa pada 1 April
2024.

Dibawah SPA KWSP, terdapat 296 dana yang diluluskan daripada 18 Institusi Pengurusan Dana (IPD). Berdasarkan penilaian tahunan yang dilaksanakan pada kedudukan setakat 31 Disember 2023, 189 dana mencapai kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahli KWSP untuk tempoh 2024/2025.

Daripada dana yang layak ini, 151 dana, atau 79.9%, adalah dana tempatan; 107 dana (56.6%) adalah dana ekuiti; dan 76 dana (40.2%) adalah dana Shariah.

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP Rohaya Mohammad Yusof berkata, “KWSP akan terus menyediakan pilihan dan fleksibiliti kepada ahli yang layak untuk meneroka peluang pelaburan yang lebih luas melalui Institusi Pengurusan Dana yang dilantik oleh KWSP.

“Skim  ini membolehkan ahli untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 KWSP mereka ke dalam dana unit amanah yang layak ditawarkan untuk pelaburan di pasaran tempatan atau global bagi memberi peluang kepada ahli meningkatkan simpanan persaraan mereka.

“Senarai ini juga adalah termasuk dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment atau SRI) yang berperanan dalam memacu agenda pelaburan mampan KWSP, di samping memperkasa ahli untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum melalui pelbagai dana yang dibenarkan,” tambah beliau.

Kesemua dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana. Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.

Di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30% daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka. Ini termasuk melabur dengan Syarikat Pengurusan Dana Amanah dan Syarikat Mandat Persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan Simpanan Asas.

“Sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, sekitar RM2.5 bilion telah diurusniagakan sehingga Disember 2023. KWSP menggalakkan lebih ramai ahli memanfaatkan kemudahan i-Invest berikutan penambahbaikan pada platform itu dibuat awal tahun ini yang membolehkan transaksi untuk portfolio mandat persendirian.

“Penambahbaikan ini membolehkan ahli untuk melakukan transaksi melibatkan portfolio mandat persendirian
yang diluluskan, sebagai tambahan kepada dana unit amanah yang layak ditawarkan melalui platform i-Invest” kata Rohaya.

Beliau menambah bahawa portfolio mandat persendirian dan dana unit amanah di bawah SPA KWSP memberikan fleksibiliti kepada ahli untuk melabur melalui pengurus aset profesional berdasarkan objektif pelaburan individu, keutamaan dan toleransi risiko mereka.

Ahli boleh melakukan transaksi dengan mudah melalui i-Invest dengan caj jualan pendahuluan yang dibayar oleh ahli kepada IPD adalah dihadkan pada 0.5% untuk setiap transaksi pembelian.

Ahli disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat yang tepat serta nasihat profesional sebelum membuat keputusan atau transaksi. Ahli boleh rujuk kepada Khidmat Nasihat Ahli KWSP di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara sebelum menyertai SPA KWSP.

Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana ini, ianya bukan merupakan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke dalam mana-mana dana tertentu.

Untuk senarai penuh untuk dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/member/investment. – SM

(Visited 25 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button