Hiburan

Lata Mangeshkar penyanyi lagenda meninggal dunia

PENYANYI lagu-lagu latar atau playback singer yang sangat popular di India dan turut disifatkan sebagai tokoh kebudayaan negara, Lata Mangeshkar, 92, meninggal dunia hari ini.

Seluruh India dan peminat filem Bollywood berdukacita di atas pemergian penyanyi lagenda itu yang melakar namanya sebagai playback singer terunggul selama tujuh dekad.

Nama Lata Mangeshkar bukan sahaja masyhur di India tetapi juga dikenali di mana-mana benua yang meminat filem-filem Bollywood termasuk Malaysia.

Lata Mangeshkar diberitakan telah dimasukkan ke hospital pada awal Januari lalu setelah beliau dijangkiti Covid-19 dan menghidap pneumonia.

Beliau kemudiannya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan gejala ringan Covid-19 dan dikatakan sedang dalam proses pemulihan.

Keadaan kesihatan Lata Mangeshkar berubah menjadi kritikal dan sehingga semalam, beliau diberi bantuan pernafasan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Menurut laporan Times of India, sumber kerajaan berkata, India akan menjalani tempoh berkabung selama dua hari bagi menghormati Lata Mangeshkar.

Dalam tempoh berkabung itu, bendera kebangsaan India akan dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan ke atas mendiang Lata Mangeshkar.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita beliau di atas pemergian penyanyi lagenda itu.

“Beliau meninggalkan ruang yang tidak dapat diisi bagi negara ini. Generasi berikutnya akan mengingati beliau sebagai tokoh kebudayaan India,” kata Modi dalam ciapan di Twitter.

Untuk rekod, Lata Mangeshkar mula menjadi penyanyi pada usia 13 tahun.

Sepanjang kerjayanya selama tujuh dekad itu, Lata Mangeshkar juga dikatakan telah menyanyikan lebih 30,000 lagu dalam pelbagai bahasa. – SM

 

(Visited 364 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button