Nasional

Pasangan diraja Perlis ucap Selamat Hari Jururawat

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengajak semua rakyat Perlis untuk bersama-sama mengucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia Tahun 2022 buat semua jururawat walau di mana sahaja mereka bertugas.

Jutaan terima kasih juga diucapkan atas segala jasa yang ditaburkan. Teruskan usaha untuk kekal berkhidmat dengan penuh komited dan berdedikasi walau dalam apa jua rintangan yang mendatang.

Mereka sesungguhnya adalah wira-wira yang tidak didendang (The Unsung Heroes). Tanpa jururawat, sistem penyampaian kesihatan akan lumpuh dan terjejas.

Demikian menurut Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11,200 kepada seramai 28 orang asnaf terpilih masing-masing menerima RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Imran Ulu Pauh untuk diagihkan oleh amilnya, Aziz Hassan pada program Hijrah Minda MAIPs semalam.

Tema sambutan pada tahun 2022 ini adalah Nurses : A Voice to lead – Invest in nursing and respects rights to secure global health. Tema kali ini memfokuskan kepada keperluan untuk melindung, menyokong dan pelaburan dalam profesion kejururawatan dalam memantapkan sistem kesihatan di seluruh dunia.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa profesion kejururawatan kini juga telah dilihat berkembang seiring dengan masa, dari bedside nursing kepada kerja-kerja yang highly technical. Di era globalisasi masa kini, transformasi kesihatan menjadi cabaran dengan peningkatan umur yang panjang di kalangan pesakit. Justeru itu para jururawat perlu berilmu dan sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan seiring dengan revolusi teknologi perubatan dan pembaharuan penjagaan kesihatan mengikut perubahan masa.

Menurut beliau, dalam menangani, membendung serta mengawal penularan penyakit Covid-19 selama dua tahun kebelakangan ini para jururawat tidak terkecuali dalam usaha ini kerana mereka merupakan tulang belakang institusi Kesihatan dalam penyampaian perkhidmatan dan penjagaan pesakit secara berterusan. Peranan dan pengorbanan mereka sangatlah besar kepada masyarakat.Mereka telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited dan dedikasi dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat disampaikan dengan lancar.

Untuk rekod, setiap tahun sejak 1974, pada tanggal 12 Mei, seluruh dunia akan menyambut Hari Jururawat Sedunia. Sambutan ini adalah bersempena dengan ulang tahun kelahiran Florence Nightingale, pengasas kejururawatan moden. Ianya juga bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada para jururawat yang merupakan sumber yang tidak ternilai komuniti, yang sentiasa memastikan perkhidmatan yang berkualiti disampaikan kepada masyarakat.

(Visited 456 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button