Nasional

Jika tidak patuh PKP, yang terburuk akan berlaku – Dr. Noor Hisham

AMARAN keras dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah selepas kes Covid-19 mencatat 4,029 kes iaitu angka tertinggi yang direkodkan sejak kes itu dikesan hampir setahun lalu.

Beliau memberi amaran bahawa situasi terburuk akan melanda sekiranya rakyat tidak patuh dengan Perintan Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Sekiranya kita tidak mematuhi PKP ini dengan betul, yang terburuk akan berlaku. Peringatan harian kepada semua “sila tinggal di rumah”. Tinggal di rumah dan selamat!” kata Dr. Noor Hisham di Twitternya.

Dalam tempoh 16 hari iaitu sejak 1 Januari lalu sehingga hari ini sejumlah 42,095 kes baharu telah dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Pada 31 Disember lalu Malaysia mencatatkan jumlah keseluruhan 113,010 kes jangkitan Covid-19 sejak pertama kali pandemik itu dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020.  Hari ini jumlah kumulatif keseluruhan kes bertambah kepada 155,095 kes.

Dalam tempoh yang sama seramai 123 orang telah meninggal dunia. Pada 31 Disember sebanyak 471 kes kematian direkodkan dan hari ini jumlah keseluruhan korban akibat Covid naik kepada 594 kes.

PKP pertama bermula 16 Mac tahun lalu berjaya melengkungkan jangkitan Covid-19 selepas negara dicemaskan dengan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 melibatkan jemaah tabligh Sri Petaling.

Kebebasan rakyat dilongkarkan melalui Perintan Kawalan Pergerakan Pemulihan pada 7 Jun 2020 selepas jangkitan Covid-19 berjaya dikawal. Kes terus berkurangan sehingga 31 Ogos 2020.

29 Februari 2020 – 25 kes
31 Mac 2020 – kes dalam tempoh sebulan 2,741 (jumlah keseluruhan 2,766 kes)
30 April 2020 – 3,236 kes (6,002 kes)
31 Mei 2020 – 1,760 kes (7,762 kes)
30 Jun 2020 – 877 kes (8,639 kes)
31 Julai 2020 – 337 kes (8,976 kes)
31 Ogos 2020 – 424 kes (9,340 kes)

Bagaimanapun selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September dengan kehadiran jentera parti untuk berkempen ketika negeri itu mencatatkan bilangan kes Covid-19 yang tinggi memberi kesan terhadap peningkatan kes di seluruh negara selepas itu.

Berikut bilangan kes yang direkodkan menunjukkan pertambahan mendadak selepas berakhirnya PRN Sabah.

30 September 2020 – 1,884 kes (11,224 kes)
31 Oktober 2020 – 19,665 kes (30,889 kes)
30 November 2020 – 34,803 kes (65,697 kes)
31 Disember 2020 – 47,313 kes (113,010 kes)
16 Januari 2020 – 42,085 kes (155,095 kes).

Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, 13 Januari lalu sehingga 26 Januari 2021.

Arahan tersebut melibatkan enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara itu, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.-SM

 

 

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button