Nasional

Tiga sekeluarga melecur dalam kebakaran Ipoh

IPOH: Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengalami kecederaan melecur dalam kebakaran yang menghanguskan empat rumah di Hala Taman Meru, Taman Meru Fasa 2B di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pasangan terbabit berusia 32 dan 26 tahun serta anak perempuan mereka berusia lima tahun melecur di badan manakala anak lelaki mereka berusia tiga tahun mengalami kesukaran bernafas.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.04 malam.

Beliau berkata sepasukan anggota bomba dari Meru Raya, dibantu oleh Ipoh dan anggota bomba sukarela dari Menglembu dan Chemor telah dihantar ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, pasukan dimaklumkan seorang lelaki masih terperangkap di dalam rumah dan ditemui di kawasan dapur berhampiran tandas.


“Sementara itu, isteri dan anak bongsu mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala anak perempuan mereka berjaya diselamatkan orang awam.

“Lelaki itu melecur tahap tiga, isteri melecur di muka dan tangan, manakala anak perempuan mereka melecur di kaki,” katanya.

Tambahnya, mereka dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.

“Kebakaran itu memusnahkan antara lima hingga 80 peratus daripada empat rumah berkenaan,” katanya sambil menambah operasi tamat pada 2.20 pagi.

Jurucakap itu menambah jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat.

 

(Visited 25 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button