fbpx
Sukan

Tiga bintang EPL positif dadah tapi tidak digantung UKAD

TIGA bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) dilaporkan berjaya mengelak daripada penggantungan, selepas positif ujian dadah yang dilaksanakan pada musim lalu.

Menurut laporan The Athletic yang mendakwa, ketiga-tiga pemain berkenaan dibenarkan kembali bermain oleh United Kingdom Anti-Doping (UKAD) selepas didapati mereka tidak melanggar sebarang peraturan yang telah digariskan.

Laporan itu menambah, kesemua pemain itu berjaya mengelak daripada dihukum selepas mendapat pengecualian penggunaan dadah tersebut untuk membolehkan mereka terus bermain.

Therapeutic Use Exemption (TUE) atau Pengecualian Pengambilan Bahan Terlarang telah dikeluarkan kepada atlet untuk membenarkan mereka menggunakan bahan atau kaedah terlarang disebabkan situasi yang khusus.

Seorang pemain dilaporkan telah diuji positif kerana menggunakan bahan terlarang methylphenidate, yang selalunya dijual di bawah nama dagangan Ritalin.


Ubat perangsang tersebut biasanya digunakan bagi merawat gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD – attention deficit hyperactivity disorder) dan narkolepsi.

Bagaimanapun, methylphenidate mungkin boleh meningkatkan tenaga atau stamina sehingga mendorong Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) menyenaraikan ubat tersebut sebagai dadah terlarang.

Namun, WADA ada menyatakan bahawa TUE boleh dikeluarkan menerusi diagnosis yang memiliki dokumen lengkap dengan kes ADHD perlulah dihidapi atlet berkenaan selama empat tahun dalam satu tempoh tertentu.

The Athletic juga mendakwa seorang lagi bintang Liga Perdana diuji positif kerana menggunakan methylprednisolone, yang dijual di bawah jenama Medrol.

Dadah jenis kortikosteroid itu biasanya digunakan untuk menyekat sistem kekebalan tubuh dan mengurangkan keradangan, tetapi ia juga dapat membantu atlet berlatih pada intensiti yang lebih tinggi.

Bahan larangan ketiga pula dilaporkan masih belum boleh didedahkan kerana difahamkan kes terbabit masih dalam siasatan.

UKAD telah mengeluarkan lapan TUE pada musim 2019/20, sementara UEFA menambah lima lagi pengecualian tersebut kepada pemain yang beraksi di Eropah.

Jumlah pemain Liga Perdana yang diuji positif dadah mencatat penurunan berbanding musim-musim sebelumnya.

Hanya dua kes dilaporkan pada musim 2016/17, sebelum bilangan itu meningkat kepada lapan kes bagi musim 2017/18 dan untuk musim 2018/19, ia bertambah kepada 11 kes dan sekarang hanya tiga kes dilaporkan. – The Sun UK – SM

 

Show More

Related Articles

Back to top button